Pesta liar: Cadang hukuman lebih berat

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara bagi memastikan hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu terlibat dalam pesta liar yang sinonim dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Advertisement

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata buat masa ini, mereka yang terlibat dalam pesta liar dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu memasukkan dadah dalam badan.

“Polis mendapati banyak dadah terutama ganja dan ketamin yang digunakan dalam aktiviti pesta liar dan kini kami (polis) sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara agar hukuman lebih berat diberikan.

Aktiviti pesta liar ini bukan sahaja ada di bandar-bandar tetapi kawasan ‘semi urban’ juga ada berlaku,” katanya mengulas mengenai aktiviti pesta liar yang semakin kerap dilaporkan di negara ini, pada sidang media di Bukit Aman, di sini semalam.

Dalam pada itu, Ramli berkata JSJN memerlukan lebih banyak anggota dalam memastikan usaha memerangi  aktiviti pengedaran dadah yang semakin canggih dapat dilaksanakan dengan berkesan. 

Katanya, kekuatan anggota JSJN ketika ini tidak mencukupi untuk memerangi musuh nombor satu negara, yang kini semakin berleluasa di pasaran.

“Situasi dadah yang semakin hebat memerlukan pemerkasaan JSJN iaitu dari segi penambahan anggota dan pegawai,” katanya. – BERNAMA