Usahawan, peniaga Kedah disaran pohon SPMK

ALOR SETAR: Usahawan dan peniaga di negeri ini disaran mengambil peluang memohon Skim Pinjaman Mikro Kredit Negeri Kedah (SPMK) sebelum 16 Julai ini bagi membolehkan mereka mendapat pembiayaan untuk menjalankan perniagaan.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata SPMK adalah program di bawah Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK).

Menurut beliau SPMK diadakan dengan tujuan menggalakkan pembangunan syarikat mikro selain membantu usahawan meningkatkan pendapatan.

“Sejak mula dilaksanakan pada 2015 hingga sekarang, pinjaman berjumlah RM5.49 juta telah diluluskan kepada 678 usahawan yang terdiri usahawan mikro dan kecil dari pelbagai sektor.

“Bagi tahun ini, UPUK telah meluluskan pinjaman berjumlah RM96,000 kepada 10 usahawan. Namun ia ditangguhkan sementara berikutan pandemik COVID-19.

“Kini disambung semula untuk membantu usahawan dan peniaga di negeri ini menikmati pembiayaan sehingga RM10,000 bagi mereka yang layak,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran SPMK di sini, semalam.

Mohd Firdaus berkata usahawan yang berminat boleh mendapatkan borang pemohonan yang berharga RM5 sekeping itu di Pejabat UPUK di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Alor Setar atau mana-mana pejabat daerah.
 
“Tarikh akhir menghantar borang pemohonan ini adalah pada 16 Julai dan kami ingin menekankan bahawa UPUK tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk menjual borang ini kerana ada laporan yang diterima bahawa borang tersebut dijual dengan harga RM450 sekeping.

Terdahulu, Mohd Firdaus turut menyampaikan Geran Sejahtera Usahawan UPUK/TERAJU kepada lima penerima yang masing-masing menerima pembiayaan berjumlah RM3,000.

Seorang penerima itu, Nasrul Izham Azmmi, 28, yang menjalankan perniagaan menjual pakaian dan kasut berkata dia gembira terpilih menerima geran itu yang diharap dapat membantu perniagaannya yang turut terjejas berikutan pandemik COVID-19.

“Saya mula meminjam pada 2017 dan sehingga kini saya tidak pernah gagal untuk membuat bayaran semula. Geran ini sangat membantu kerana telah dapat meningkat modal dan keuntungan perniagaan saya dan syukur perniagaan saya telah memasuki pasaran hingga Sabah dan Sarawak juga,” katanya. – BERNAMA