Kadar kemalangan maut tempat kerja menurun

KUALA LUMPUR: Kadar kemalangan maut di tempat kerja tahun lepas mencatatkan penurunan sebanyak lapan peratus iaitu 3.83 daripada 100,000 pekerja berbanding 4.14 daripada 100,000 pekerja pada 2018.

Advertisement

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata perkembangan positif itu merupakan hasil kesedaran majikan dan pekerja mengenai kepentingan dalam memastikan persekitaran kerja selamat.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh berpuas hati kerana banyak lagi usaha perlu dilakukan dalam membantu kerajaan merealisasikan hasrat untuk meningkatkan tahap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP),” katanya.

Beliau berucap pada perasmian Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan peringkat Kebangsaan 2020 di sini hari ini.

Mengenai situasi pandemik COVID-19, Awang berkata pihak majikan perlu memperkasakan program kawalan risiko berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja masing-masing.

Katanya, majikan dan pekerja perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik yang masih tiada vaksin itu dipatuhi sepenuhnya bagi mencegah penularan.

Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan merupakan acara tahunan yang disambut pada minggu kedua bulan Julai sejak 2006. Tema sambutan tahun ini adalah ‘Hentikan Pandemik: Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Dapat Menyelamatkan Nyawa’. – BERNAMA