Sarawak mohon kembalikan JK Khas Kewarganegaraan

KUCHING: Sarawak akan mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mewujudkan semula Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan atau dokumen pengenalan diri.

Advertisement

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan dibuat berhubung penubuhan semula jawatankuasa itu yang ditamatkan perkhidmatannya pada 2 Julai tahun lepas.

“Dengan adanya jawatankuasa ini, kita sebenarnya dapat membantu untuk menapis serta memastikan semua dokumen pemohonan yang  lengkap  dan sahih untuk diberikan sokongan sebelum dimajukan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan KDN,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Fatimah, yang terdahulu mempengerusikan mesyuarat isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan atau dokumen pengenalan diri di Sarawak di pejabatnya di sini, berkata proses itu akan memudahkan lagi kerja-kerja KDN dalam memproses permohonan itu.

Katanya sehingga 2 Julai tahun lepas, sejumlah 717 kes permohonan untuk mendapatkan status kewarganegaraan bagi kanak-kanak di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan telah dimajukan oleh jawatankuasa yang ditubuhkan pada 2016 itu. – BERNAMA