Serap semua kakitangan kontrak kepada tetap

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengesyorkan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar menyerap dan menawarkan jawatan tetap kepada lebih 41,900 anggota jawatan kontrak di sektor awam kerajaan Persekutuan di pelbagai kementerian.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, sekiranya perkara berkenaan dapat dilaksanakan oleh kerajaan PN maka ia akan memberi satu jaminan masa depan yang cerah dan stabil kepada rakyat.

Advertisement

“Kebanyakan mereka masih tidak mampu membeli rumah, kenderaan dan mendapat kemudahan lain kerana tidak berjawatan tetap. Disamping keluarga yang semakin besar dan memerlukan komitmen kewangan yang tinggi.

“Dengan menawarkan jawatan tetap akan memberi kegembiraan, seterusnya melegakan kegusaran kepada mereka yang memikirkan masa depan kemungkinan kehilangan pekerjaan serta kesukaran mendapat peluang pekerjaan baru pasca pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu katanya, UMMAH juga difahamkan terdapat lebih daripada 11 ribu lantikan kontrak yang telah pun bekerja lebih daripada 15 tahun masih lagi tidak ditawarkan lantikan tetap.

“Ini akan merugikan produktiviti masa depan negara dan rakyat. Maka ini adalah masa yang paling tepat dan sesuai kepada kerajaan PN untuk membuat pengumuman yang mengembirakan rakyat,” katanya lagi.

Justeru itu, UMMAH menyeru kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin agar kerajaan terus menunjukkan sikap perihatin dan memberi penumpuan yang serius kepada perkara ini bagi mengembalikan kepercayaan dan sokongan rakyat kepada kerajaan.- HARAKAHDAILY 9/7/2020