Surat terbuka kepada UKM

Baru-baru ini telah dilakukan satu soal-selidik dalam talian tentang visi dan misi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Penulis rasa musykil dan aneh kenapa tiba-tiba hendak dikaji visi dan misi UKM.

Maka penulis pun melayari sesawang UKM untuk meneliti visi dan misi asal UKM dan terjumpalah dengan catatan berikut.

UKM berhasrat untuk menjadi universiti yang terkehadapan yang mendahului masyarakat dan zamannya bagi membentuk masyarakat dinamik, berilmu dan berakhlak mulia.

Advertisement

Manakala misi UKM pula untuk menjadi universiti terpilih yang memartabatkan bahasa Melayu serta mensejagatkan ilmu beracuan budaya kebangsaan umpama Malaysia yang perlu maju tetapi dengan acuan sendiri.

UKM juga berhasrat melahirkan graduan beraspirasi kebangsaan, kompeten, berdaya-saing dan inovatif berasaskan nilai keserakanan, akauntabiliti, merit, inovatif dan integriti.

Malah, moto UKM jelas menyatakan bahawa UKM mengilham harapan dan berhasrat “mencipta” masa depan. Lengkap dan cantik sekali.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa visi dan misi UKM tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan dan bisa merentas era kini, mengimbau sejarah sambil meneroka masa hadapan.

Justeru, apakah tujuan soal selidik tentang visi dan misi UKM dibuat?

Banyak graduan jurusan sains, kejuruteraan, teknologi dan lain-lain terhasil oleh UKM.

Dalam tahun 2001 sahaja lebih 2,500 siswazah lulusan UKM.

Jika jumlahnya lebih kurang sama setiap tahun dalam masa 10 tahun sahaja, 2011, lebih 25,000 siswazah berbahasa Melayu dihasilkan oleh UKM.

Belum lagi mengambil kira lulusan daripada lebih 10 buah universiti yang lain.

Sejak tahun 1980 hingga 2002 sahaja lebih 2,000 tesis sarjana dan Doktor Falsafah dihasilkan oleh UKM.

Malah banyak juga yang menggondol hadiah reka cipta bertaraf dunia.

Profesor di UKM, Dato’ Dr. Ir Wan Ramli Wan Daud baru-baru ini menjadi saintis yang paling banyak dirujuk di dunia, mengalahkan sarjana barat dan timur walaupun “menjual” ilmunya dalam bahasa Melayu.

Sumbangan UKM khasnya dan universiti lain selepas pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan antaranya menambah jumlah profesional berikut doktor gigi, doktor veteriner, doktor perubatan, juruukur dan jurutera.

Sebagai perbandingan peratusan profesional arkitek (4 peratus), doktor gigi (3 peratus), doktor veteriner (4 peratus), doktor perubatan (4 peratus), juruukur (4 peratus) dan jurutera (7 peratus) pada tahun 1970 meningkat masing-masing kepada 29 peratus, 35 peratus, 43 peratus, 37 peratus, 45 peratus dan 27 peratus sehingga tahun 1999.

Malah lulusan pendidikan sekolah ke universiti melalui medium bahasa Melayu sebelum PPSMI (1970-2003) tidak kurang daripada lima juta orang pelajar.

Jumlah inilah yang akhirnya menjadi ribuan profesional Melayu dan bumiputera di samping keturunan Cina dan India yang berkhidmat di negara ini dan juga di seberang laut.

Masih tak bagus lagikah visi dan misi asal UKM sedangkan telah mencakup hampir semua harapan positif bagi sebuah universiti dan negara ini?Adakah ada udang bersembunyi di sebalik batu?

Kita selalu mendengar kisah campur tangan orang politik dalam sesebuah organisasi yang bisa meruntuhkan organisasi tersebut.

Kini, kebimbangan kita melarat kiranya campur tangan orang korporat juga sama, bisa merobek organisasi seperti UKM.

Umumnya orang korporat selalu meletakkan keuntungan atas segala-galanya. Tidak peduli langsung soal perjuangan, budaya, bangsa, jati diri, bahasa dan seumpamanya.

Go to hell with bahasa Melayu, apa barang bahasa ini!”

Kita amat bimbang kemungkinan wujud agenda tersembunyi untuk membuang, merobek visi dan misi asal UKM yang antara lain untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Malah difahamkan bahawa Naib Canselor UKM sendiri telah membayangkan perkara ini baru-baru ini walaupun mungkin banyak staf UKM tak perasan akan hal ini.

Difahamkan juga bahawa pimpinan tertinggi UKM telah meminta agar dilakukan semak semula peraturan tentang bahasa Melayu sebagai bahasa penulisan tesis.

Konon tujuannya untuk menarik lebih banyak pelajar luar negara sedangkan peraturan sedia ada sudah cukup baik yang boleh membenarkan pelajar dalam dan luar negara menulis dalam bahasa Inggeris setelah memohon kebenaran.

Apabila pendidikan diniagakan, apalagi mahunya jika bukan wang semata-mata.

Walaupun anda orang korporat anda lupa bahawa bahasa Melayu juga “komoditi” yang boleh membawa keuntungan seperti yang dilakukan oleh Jerman, Perancis, Korea, Jepun, Rusia dan lain-lain.

Angkasawan Sheikh Muzaffar terpaksa belajar bahasa Rusia sebelum dibenarkan menaiki kapal angkasa.

Tidak cukup dengan bahasa Inggeris sahaja kerana bahasa Inggeris bukan segala-galanya.

Walaupun penulis difahamkan masih ada pihak di UKM yang bersedia mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa penulisan tesis sekali gus sebagai bahasa ilmu, tetapi nampaknya pimpinan tertinggi UKM tetap berdegil agar bahasa Inggeris digunakan.

Aku “raja” dan punya kuasa, peduli apa? Pepatah Melayu dah lama berkata, raja (baca pemimpin) adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.

Ahli Lembaga Pengarah UKM merestui akan hal ini kerana pernah menyuarakan perkara yang sama di samping berhasrat untuk mengubah visi dan misi asal UKM yang kononnya dianggap sudah usang.

Jadi jelas terbayang sekilas ikan di air, ikan mana yang hendak direjam.

Mungkin mereka “buta” bahawa antara ribuan tesis terdapat tesis PhD terkini di UKM tentang “teknologi nano” ditulis oleh seorang pelajar Malaysia berketurunan Cina.

Kepada mereka ini, kualiti ilmu pada bahan dan isinya walau bahasa apa pun yang digunakan. Jika sampah yang ditulis, dalam bahasa apa pun ia tetap sampah, jika permata, walau dalam bahasa Melayu tetap permata dan dicari orang.

Janganlah perangkap minda anda dalam jerangkap bahasa Inggeris dan mengheret orang lain bersama dengan “kemabukan” anda.

Jelas sekali bahawa sejarah perjuangan dan penubuhan UKM tidak anda hayati.

Mungkin anda tahu atau mungkin lupa?

Perjuangan rakyat Malaysia pada awal penubuhan UKM yang mahukan sebuah universiti bersifat kebangsaan untuk melahirkan lebih banyak teknokrat dan profesional Melayu yang amat kurang pada era 60-an dan 70-an.

Akhirnya, selepas penubuhan UKM yang turut termasuk hasil sumbangan derma orang ramai maka ribuan profesional Melayu, bumiputera seperti doktor, jurutera, akauntan, peguam dan lain-lain terus mewarnai landskap profesional di Malaysia.

Banyak juga yang turut menyambung pengajian di luar negara dan menjadi pakar bidang dan konsultan malah di peringkat antarabangsa.

Ribuan mereka ini menjadi petunjuk dan bukti bahawa bahasa Melayu bukan penghalang kemajuan bangsa dan negara ini.

Malangnya akibat terlalu mabuk Inggeris, dan yakin hanya bahasa Inggeris mampu membawa kemajuan dan menarik pelajar asing maka bahasa Melayu sanggup digadaikan pemimpin bangsa sendiri dan ironinya di gedung ilmu UKM.

Insaflah sebelum nasi menjadi bubur. UKM sebenarnya memikul amanah bangsa dan negara bukan untuk menggadai bahasa tetapi untuk terus memartabatkannya sebagai bahasa ilmu.

Sekalipun UKM sudah berjaya mencapai visi dan misinya, tidak bermakna asas perjuangan perlu dibuang dan dilupakan.

Bangsa yang melupakan sejarah perjuangan dan meninggalkannya adalah bangsa yang sombong, tiada harga diri dan tidak perlu dihormati lagi.

Maaf dan salam hormat daripada saya.

Kamal Shukri Abdullah Sani,
Timbalan Presiden,
Persatuan Linguistik Malaysia. – HARAKAHDAILY 9/7/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.