Empat kamera AWAS di Terowong Menora

IPOH: Sebanyak empat kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) akan ditambah di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) iaitu sebelum dan selepas Terowong Menora di sini bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan terbabit.

Advertisement

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, operasi pemasangan kamera AWAS di kedua-dua arah laluan panas itu telah memperoleh kelulusan Kementerian Pengangkutan dan dijangka dilaksanakan pada hujung tahun ini.

“Penambahan ini menjadikan keseluruhan 49 kamera AWAS yang terdapat di seluruh negara termasuk 22 di PLUS setakat ini.

“Kami juga dalam kajian untuk menambah lebih kamera AWAS di kawasan-kawasan berisiko bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Perkara itu dimaklumnya pada sidang media sempena lawatan ke Stesen Penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Lebuhraya (UPLR) JPJ Jelapang di sini semalam.

Beliau berkata had kelajuan yang ditetapkan kepada kenderaan yang melalui penempatan empat kamera AWAS di Terowong Menora adalah 70 kilometer sejam (km/j) berbanding kamera AWAS lain yang menetapkan had laju 110km/j.
 
Shaharuddin berkata aspek teknikal dan spesifikasi pemasangan kamera itu kini berada di peringkat akhir untuk menentukan kesesuaian lokasi yang strategik dengan kerjasama pihak PLUS Malaysia Berhad.

Katanya, fungsi kamera AWAS di lokasi tersebut akan dipantau oleh UPLR yang mula beroperasi di pusat kawalan Stesen Penguatkuasa UPLR JPJ Jelapang yang mula beroperasi pada 1 Julai lepas.

“Pengiraan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) kamera AWAS juga masih sama pada pelaksanaannya nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata pemasangan kamera AWAS di kawasan Terowong Menora diyakini dapat menurunkan kadar kemalangan memandangkan lokasi terbabit merupakan lokasi panas kemalangan terutamanya melibatkan kenderaan berat.

“Rekod menunjukkan memang ada disiplin dalam kalangan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan namun dengan pemasangan kamera ini dan kehadiran pasukan pemantau pasti akan dapat meningkatkan tahap keselamatan di laluan itu.

“JPJ melaksanakan penguatkuasaannya dan menetapkan isu teknikal serta spesifikasi manakala pihak PLUS menyediakan bekalan kuasa dan peralatan kamera AWAS,” katanya. – BERNAMA