KKM iktiraf peranan media sebagai ‘frontliners’

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengiktiraf dan menghargai media sebagai barisan hadapan yang sama-sama berganding bahu memerangi pandemik COVID-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Advertisement

Beliau berkata selain menyampaikan dasar dan polisi kerajaan, peranan media amat penting terutamanya dalam menyampaikan maklumat dengan cepat dan tepat serta bertindak sebagai agensi  yang membetulkan  persepsi masyarakat.

“Saya dan KKM berpendapat media juga adalah barisan hadapan, mereka (media) juga tempuh risiko, mereka juga lalui keperitan dan kesusahan. Justeru, saya dan KKM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih atas usaha komitmen, kesungguhan, kesabaran ketabahan media.

“Nama baik KKM, barisan hadapan agensi-agensi kementerian terlibat, nama baik negara kita dibawa oleh rakan media. Hari ini dunia mengiktiraf kita,” katanya. 

Pengiktirafan itu diungkapkannya ketika berucap pada Majlis Malam Ramah Mesra Media di sini semalam yang dihadiri kira-kira 120 pengamal media daripada pelbagai agensi berita.

Beliau berkata kejayaan Malaysia dalam membendung COVID-19 adalah usaha pelbagai pihak yang memainkan peranan masing-masing. – BERNAMA