Perancang bandar dihadap dakwaan hina Agong

KUALA LUMPUR: Seorang perancang bandar bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik melalui Facebook berhubung Yang di-Pertuan Agong pada 2018.

Advertisement

Nazaruddin Mohamad, 48, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.

Mengikut pertuduhan, Nazaruddin didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook miliknya secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 12:33 tengah malam, 13 Mac 2018.

Pautan itu kemudian dibaca di Menara A, Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah di sini, pada 10 pagi, 27 Mac tahun sama.

OKS didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Norhani Mohd Adzhar, sementara OKS diwakili peguam Muhammad Iqbal Ismail.

Mahkamah menetapkan 10 Ogos untuk sebutan semula kes. – BERNAMA