Tidak timbul istilah pintu belakang – Awang


KUALA LUMPUR: Slogan dan stigma yang menyatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terbentuk melalui ‘pintu belakang‘ sama sekali tidak tepat.

Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim berkata, sekiranya pemerintahan kerajaan yang lalu (Pakatan Harapan) tidak lemah, maka tidak timbul kerajaan PN yang digelar pintu belakang seperti yang dimomokkan oleh parti pembangkang.

Beliau berkata, PN yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jauh lebih baik daripada kerajaan sebelum ini.

Bahkan katanya yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, corak pemerintah yang dibawa dan diperkenalkan Muhyiddin dapat diterima oleh rakyat.

“Jika sebelum ini, kita terlalu terikut dan terpengaruh di atas mereka yang digilap, digeruni sehingga nampak mereka sahaja yang boleh.

“Namun sebenarnya tidak, malah kita juga tidak pernah terfikir abah, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh memimpin negara jauh lebih baik,” katanya yang menjadi tetamu jemputan program Bicara Harakah yang disiarkan menerusi Facebook Harakah TV malam tadi.

Isu yang dibincangkan pada program yang turut mengundang Ahli Parlimen BN, Dato’ Seri Ahmad Maslan membicarakan topik ‘Bubarkah Parlimen selepas Julai 2020?’. – HARAKAHDAILY 10/7/2020

Advertisement