Hagia Sofia kembali jadi masjid semula

Presiden Turki, Recep Tayyep Erdogan semalam mengisytiharkan status Hagia Sophia sebagai masjid selepas menandatangi membatalkan dekri 1934.


KUALA LUMPUR: PAS berharap mudah-mudahan pembukaan semula Hagia Sofia sebagai sebuah masjid mengembalikan sinar keagungan Islam di Turki.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi (gambar) berkata, keputusan Mahkamah Turki membatalkan dekri kerajaan Turki pada tahun 1934 telah mengembalikan status Hagia Sofia daripada sebuah muzium kepada masjid.

Advertisement

Ia sekali gus katanya menjadikan dekri 1934 diisytiharkan sebagai tidak sah di sisi undang-undang kerajaan Turki.

“Sejam selepas keputusan tersebut, Presiden Turki Recep Tayyep Erdogan mengisytiharkan bahawa Hagia Sofia dibuka kepada umat Islam untuk beribadat.

“Malah pengurusan Hagia Sofia diserahkan kembali kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam.

“Keputusan Mahkamah Turki tersebut membuka jalan kepada Hagia Sofia untuk dibuka semula sebagai masjid dan menjadi mercu tanda umat Islam di Turki setelah lebih 85 tahun dijadikan muzium,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, Hagia Sofia asalnya adalah salah sebuah gereja terbesar di dunia yang dibina pada kurun keenam masehi oleh Empayar Byzantine.

Selepas hampir 916 tahun menjadi gereja, Hagia Sofia dijadikan masjid apabila Sultan Mehmet II, sultan ketujuh dalam Kesultanan Othmaniyyah menakluk Istanbul pada 29 Mei 1453.

Namun katanya, setelah kejatuhan Kesultanan Othmaniyyah, Turki dijadikan sebuah republik pada tahun 1923 di situlah bermula sejarah perubahan fungsi Hagia Sofia.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok itu, setelah melalui beberapa proses pemulihan yang memakan masa beberapa tahun, pada tahun 1934 kabinet Republik Turki yang diketuai oleh Mustafa Kemal Atartuk memutuskan Hagia Sofia dijadikan sebuah muzium.

“Semoga dengan keputusan tersebut dan pembukaan semula Hagia Sofia sebagai sebuah masjid, mudah-mudahan Islam kembali menjadi sinar keagungan dan kebanggaan umat Islam di Turki.

“Moga Allah SWT memberkati dan merahmati Turki dan rakyatnya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/7/2020