Perluaskan tulisan Jawi kepada semua warganegara

KUALA LUMPUR: Usaha pihak kerajaan mengadakan Hari Jawi pada setiap hari Jumaat adalah amat dialu-alukan kerana ianya ini mampu menjadi budaya menulis, mengguna dan mempelbagaikan unsur-unsur tulisan Jawi kepada khalayak.

Advertisement

Bahkan, pembudayaan tulisan Jawi pada hari Jumaat hendaklah diperluaskan lagi pada hari-hari lain untuk membiasakan kepada semua kaum bahawa tulisan Jawi suatu ketika dahulu menkadi tulisan perantara di Tanah Melayu.

Demikian ulas Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit yang juga Munsyi Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika diminta mengulas pengumuman kerajaan menjadikan hari Jumaat sebagai Hari Jawi, semalam.

Malah serunya, harus digalakkan keseluruhan rakyat menggunakan tulisan Jawi sebagai tulisan utama, kerana sekiranya dikekalkan hanya pada hari Jumaat semata-mata, tulisan Jawi akan menjadi persepsi agama.

“Dengan kata lain tulisan Jawi (akan didakwa) hanya untuk orang Islam. Hakikatnya tulisan Jawi ialah tulisan yang mampu dipelajari oleh semua bangsa.

“Salah satu unsur mengharmonikan masyarakat berbilang bangsa ialah dengan mempelajari tulisan Jawi, (di mana) kemampuan menguasai tulisan Jawi juga sebagai tanda meraikan kepelbagaian tulisan yang wujud di negara ini,” ujarnya optimis. – HARAKAHDAILY 11/7/2020