As-Sabiqun Lumut siap sedia hadapi PRU15

LUMUT: Sidang As-Sabiqun PAS Kawasan Lumut menzahirkan kesediaan anggotanya untuk terus mendukung perjuangan PAS agar ia difahami serta hingga dapat menyatukan seluruh umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini bersama kaum-kaum lain.

Advertisement

Ikrar tersebut dinyatakan Pengerusi As-Sabiqun PAS Lumut, Radzi Mohd Noor ketika program Ziarah As-Sabiqun PAS Lumut di Markas PAS FELCRA Lekir, Sitiawan, di sini pagi semalam.

Majlis julung kali ini turut dihadiri Pengerusi As-Sabiqun PAS Negeri Perak, Saleh Tulus dan Yang DiPertua PAS Lumut, Rosli Abd Rahman serta Ketua Pemuda dan Muslimat PAS Lumut, Muhammad Nizar Majid dan Rohawati Abidin.

Ahli-ahli As-Sabiqun PAS Lumut menyerlahkan dukungan itu juga sebagai kesiapsiagaan mereka untuk membantu gerak kerja PRU15 sebagaimana ditunjukkan dengan kehadiran seramai 100 ahlinya di majlis ini.

Menurut Rosli, pihak parti sentiasa memberi perhatian dan kepedulian kepada golongan veteran ini kerana kebanyakan mereka adalah individu-individu yang terawal membantu PAS Lumut, bahkan perintis PAS di sini.

Manakala Saleh dalam ucapannya menyifatkan golongan ini telah menghabiskan banyak masa untuk bersama dalam perjuangan PAS dan meyakini bahawa segala usaha dilakukan mereka menjadi sebahagian amal soleh.

Pada majlis ini Ustazah Norasemah Muhammad dan Rahmah Mat Nor telah dinobat sebagai penerima Anugerah As-Sabiqun PAS Lumut. – HARAKAHDAILY 12/7/2020