Semak had garis miskin langkah realistik – J Solomon

MTUC puji langkah diambil kerajaan pimpinan Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik keputusan kerajaan yang menyemak semula had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional kepada RM2,208 berbanding RM980 sebelum ini.

Advertisement

Setiausaha Agung MTUC J. Solomon berkata walaupun kadar itu lebih rendah berbanding RM2,700 yang disaran oleh kesatuan sebagai gaji minimum bulanan khususnya di bandar.

Menurutnya, semakan semula PGK menunjukkan komitmen kerajaan untuk menangani kemiskinan melalui penyediaan data yang lebih realistik.

PGK yang disemak semula itu telah meletakkan garis kemiskinan negara pada kadar lebih realistik iaitu 5.6 peratus berbanding 0.4 peratus sebelum ini.

Di mana terangnya, dahulu dibuat berasaskan metodologi lapuk dan gagal menggambarkan keseriusan masalah tersebut, katanya dalam kenyataan semalam.
 
“MTUC mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed atas kemahuan politik mereka yang teguh untuk mengambil langkah berani menyelaras semula kadar garis kemiskinan di negara ini,” katanya.

Katanya MTUC juga berharap PGK yang disemak semula itu akan diiringi dasar-dasar yang dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan selain membolehkan pekerja meraih gaji lebih tinggi.

Tindakan itu menurutnya, sekali gus meningkatkan pendapatan boleh guna dan simpanan persaraan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
 
“MTUC menggesa kementerian dan agensi berkenaan mengambil endah seruan Mustapa yang mahu PGK 2019 ditimbang dalam penggubalan dan semakan semula dasar berkaitan pembasmian kemiskinan dan bantuan sosial masing-masing.       

“Kita bersetuju dengan pandangan Menteri berkenaan (Mustapa) bahawa hanya dengan menggunakan statistik tepat, kerajaan dapat merangka strategi dan dasar yang betul, terutamanya dalam menggubal Rancangan Malaysia ke-12,” katanya.

Pada masa sama, seiring dengan PGK baharu, MTUC menggesa kerajaan menyemak semula kadar gaji minimum, khususnya di kawasan bandar dan meningkatnya selaras saranan Bank Negara Malaysia. – BERNAMA