COVID-19: Kluster baharu dikesan – KKM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebuah kluster baharu COVID-19 telah dikesan di Melaka.

Advertisement

Kluster ini telah dikenalpasti apabila terdapat kes ketiga yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan kontak rapat kepada kes kedua bagi kluster ini.

Kes pertama kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia (iaitu kes ke-8673) yang telah pulang ke Malaysia dari negara Rusia pada 5 Julai 2020.

Keputusan saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa didapati positif dan beliau kemudiannya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Kes kedua kluster ini iaitu kes ke-8718 merupakan rakan kepada kes ke8673. Mereka telah menaiki pesawat yang sama, juga pada 5 Julai 2020.

Demikian kata satu kenyataan KKM mengenai perincian kes Covid-19 petang ini.

Keputusan saringan COVID-19 bagi kes ke-8718 di Pintu Masuk Antarabangsa didapati negatif, namun beliau mula mengalami gejala demam dan gejala saluran pernafasan pada 7 Julai 2020.

Saringan ulangan didapati positif COVID-19. Sehingga 13 Julai 2020, terdapat tiga kes positif dan 14 orang kontak rapat telah dikenalpasti dalam kluster ini. Semua 14 orang kontak rapat telah disaring dan dikesan negatif COVID-19.

Siasatan dan akitiviti pengesanan kontak rapat secara aktif adalah diteruskan.

Seperti yang maklumkan di atas, terdapat penularan jangkitan COVID-19 kepada seorang ahli keluarga daripada kes yang mendapat jangkitan dari luar negara (iaitu kes ke-8718).

Ketibaan beliau di Malaysia pada 6 Julai 2020 telah disambut oleh ahli keluarga beliau.

Seramai empat orang ahli keluarga telah datang bersama-sama dengan menaiki kereta sendiri untuk menjemput beliau di pintu masuk antarabangsa.

Hasil siasatan mendapati bapa kepada kes tersebut (iaitu kes ke8724) turut dikesan positif COVID-19 selepas beliau mula mengalami gejala demam.

Ini menjadikan beliau kes ketiga Kluster PUI Novgorod.- HARAKAHDAILY 13/7/2020