‘Lesen Penuh’ disokong, didik golongan transgender

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memiliki “lesen penuh” untuk mengambil tindakan terhadap transgender hanya bertujuan untuk mendidik golongan itu.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh, golongan transgender sewajarnya menyedari diri mereka tidak lagi ada tempat dalaman psikologi.

Advertisement

Sehubungan itu, beliau menyokong keputusan tindakan tegas kerajaan terhadap golongan tersebut kerana katanya golongan ini wajar dibantu supaya kembali ke pangkal jalan.

“Tujuan Menteri Hal Ehwal Agama memberikan kuasa penuh kepada JAWI dalam mengendalikan golongan transgender bertujuan untuk mendidik golongan ini.

“Hakikatnya transgender perlu sedar mereka tidak ada tempat dalam psikologi, jadi jelas kesedaran dan tindakan seperti ini sewajarnya sangat perlu,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Jumaat lepas, Zulkifli mengumumkan JAWI diberi kuasa untuk menangkap golongan transgender untuk ditarbiah supaya kembali ke pangkal jalan.

Jelas Zulkifli pihaknya tidak mahu golongan ini sekadar ditangkap tanpa diberikan kesedaran kepada mereka.

Walau bagaimanapun, pengumuman Zulkifli tidak disenangi oleh golongan terbabit apabila seorang aktivis transgender Nisha Ayub mendakwa keputusan Zulkifli itu hanya mengancam keselamatan golongan transgender.

Baru-baru ini tular di media sosial seorang usahawan kosmetik Muhammad Sajad Kamaruzaman atau Nur Sajad menari tiktok dengan berpakaian menjolok mata.

Tindakan Sajad yang berpakaian menyerupai wanita dan menjolok mata membangkitkan kemarahan masyarakat khususnya kaum wanita yang menyifatkan tindakan Sajad itu menjatuhkan maruah kaum wanita. – HARAKAHDAILY 13/7/2020