Meremajakan pertanian, tingkat guna teknologi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berusaha untuk meremajakan bidang di bawah tanggungjawabnya dan menggalakkan golongan muda untuk bersama dalam agenda tersebut.

Advertisement

Timbalan Menteri MAFI II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, penglibatan tersebut penting kerana perkembangan di bidang tersebut memerlukan kecekapan dan kemahiran teknologi baharu supaya pengeluaran dapat ditingkatkan.

Beliau menegaskan perkara tersebut semasa mengadakan pertemuan bersama pihak PAS Negeri Sabah sempena lawatan kerja beliau dalam perjumpaan khas yang diadakan di Pejabat PAS Kawasan Kota Belud, kelmarin dahulu.

Turut bersama dalam majlis tersebut adalah Pesuruhjaya dan Setiausaha PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling dan Dr Aliakbar Gulasan serta Yang DiPertua PAS Kota Belud, Ustaz Awang Laiman Ikin.

Juga Setiausaha PAS Kota Belud, Abdul Kasan Gamah dan Yang DiPertua PAS Kawasan Kota Kinabalu, Mohd Tarmizi Yahaya serta pimpinan dari beberapa kawasan dalam negeri Di Bawah Bayu itu.

Dato’ Che Abdullah turut dimaklumkan mengenai masalah-masalah termasuk aduan dan cadangan berkaitan pertanian di negeri tersebut, selain beliau sendiri memaklumkan berkaitan inisiatif dan galakan yang disediakan pihak kerajaan.

Beliau menyeru untuk mereka yang menceburi bidang pertanian untuk memanfaatkan peluang ditawarkan pihak kerajaan dalam sektor terbabit serta menjadikannya sebagai pemangkin dakwah. – HARAKAHDAILY 13/7/2020