Peranan petugas barisan hadapan dirai NGO

BANGI: Persatuan Generasi Prihatin (GenP) telah menganjurkan Majlis Penghargaan Petugas Barisan Hadapan COVID-19 yang dihadiri kira-kira 200 tetamu di Restoran Haji Azmi, Hentian Kajang, di sini semalam.

Advertisement

Majlis meraikan petugas barisan hadapan kesihatan diketuai Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Serdang, Dr Ferwahn Fairis Ab Karim termasuk juga anggota keselamatan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan Balai Polis Bandar Baru Bangi.

Turut meraikan adalah pelbagai organisasi dan NGO antaranya Pertubuhan Kebajikan Sedekah Subuh (Sedekah Subuh), Persatuan Kebajikan OKU Berdaya Hulu Langat (Berdaya), Jabatan Amal Kawasan Bangi, Yayasan Amal Malaysia (Amal Malaysia), NGI Sepiring Sedekah, Surau Al Ikhlas, Surau Saujana Impian.

Juga Yayasan Amal Malaysia, Kedai Kopi Tepian Bangi, CSA Butik Collection, De’Xandra dan beberapa individu di mana semua mereka adalah penyumbang-penyumbang kempen Dana Sumbangan Petugas Barisan Hadapan COVID-19.

Menurut Dr Fairis, bagi pihak Hospital Serdang sangat-sangat menghargai sumbangan makanan sebanyak 250 – 300 pek setiap waktu sarapan, makan tengah hari dan makan malam yang disampaikan oleh NGO GenP.

Dengan kerjasama Restoran Haji Azmi dan NGO serta pihak-pihak yang dinyatakan, sumbangan berkenaan telah disampaikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dari 17 Mac sehingga 9 Jun secara konsisten setiap hari.

Inisiatif GenP dan semua penyumbang terlibat tersebut adalah sebagai tanda solidariti dan sokongan kepada petugas barisan hadapan negara yang komited dan telah berkorban untuk mengekang penularan COVID-19.

“Makanan yang dihantar dibungkus elok, berkualiti, sedap serta menepati citarasa petugas barisan hadapan dan kakitangan sokongan kami.

“Sumbangan makanan ini memberi makna yang sangat besar kepada petugas kami yang mengalami kesukaran lantaran faktor pergerakan dan masa yang terhad sewaktu bertugas,” ujar Dr Fairis lagi.

Dalam majlis tersebut Pengerusi GenP, Mohd Faizal Zainuddin turut menyampaikan sijil penghargaan dan bungkusan hamper kepada wakil petugas barisan hadapan dan juga kepada para penyumbang.

Untuk rekod, sebanyak 32,309 pek makanan telah dihantar sebagai sumbangan kepada petugas barisan hadapan Hospital Serdang, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan Balai Polis Bandar Baru Bangi sepanjang tempoh tersebut. – HARAKAHDAILY 13/7/2020