Perkasa industri buluh, bukan ganti sawit

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) tiada hasrat untuk menggantikan Komoditi Utama Negara, iaitu industri kelapa sawit dengan industri buluh.

Advertisement

Menurut Menterinya, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, kementerian itu kini dalam usaha memperkasakan industri sawit melalui pasaran antarabangsa selain berhasrat menerokai pasaran buluh untuk menjadikan ia sebagai komoditi masa depan negara.

Dalam usaha menjadikan buluh sebagai komoditi masa depan negara, kementerian itu juga telah menyenaraikan buluh sebagai salah satu tanaman hutan yang perlu dikomersialkan.

Malah, KPPK kini sedang dalam proses untuk mengubah skim pinjaman yang berbentuk konvensional kepada pembiayaan patuh syariah, katanya ketika menjawab persoalan dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya (PH) berhubung penanaman buluh yang ditetapkan Pakatan Harapan sebelum ini, Mohd Khairuddin menjelaskan bahawa apa yang dilakukan KPPK kini adalah berbeza ketika PH mengambil alih.

Katanya, KPPK ketika Pakatan Harapan memerintah tidak dipacu dengan baik dan nilai eksport tanaman buluh jatuh pada tahun 2018 dan 2019 berbanding 2017.

“Saya melihat ini satu kegagalan menteri yang lalu, maka bagi saya ia mesti dipacu dengan cara yang bijak dan berhati-hati dan prospek sangat besar,” bidasnya menjawab persoalan tersebut.

“Sebab itu yang pertama sekali ialah, saya kempen secara besar-besaran ialah untuk tanam buluh kerana telah disediakan suatu pembiayaan mudah yang boleh beri untung dalam jangka masa panjang.

“Kerana hari ini bekalan buluh hanya bergantung kepada bekalan hutan yang diambil oleh orang kampung atau orang asal sahaja, tidak ada bekalan yang konsisten, kita perlukan ladang.

“Ladang ini boleh memberikan ‘income‘ yang baik, saya telah sebutkan kepada media, income sehingga RM64,000 setahun,” jelasnya.- HARAKAHDAILY 13/7/2020