Speaker tukar, isyarat pilihan raya mengejut?

PEMUDA PAS mengambil maklum berkenaan usaha menukar speaker yang telah diusulkan sendiri Perdana Menteri Malaysia dalam persidangan Parlimen kali ini. Ini adalah rentetan Speker yang mengendali sidang kali ini masih lagi speaker yang dipilih dibawah bekas Kerajaan Pakatan Harapan.

Menjadi suatu norma yang biasa apabila berlaku pertukaran kerajaan, pertukaran kedudukan penting dalam kerajaan juga akan bertukar mengikut kepada halatuju yang telah di tetapkan kerajaan. Maka Pemuda PAS menyokong hasrat ini jika ianya memudahkan perjalanan urusan kerajaan dalam memberikan pentadbiran yang terbaik kepada rakyat Malaysia.

Advertisement

Namun, menjadi persoalan, siapakah yang bakal menduduki kerusi speaker ini yang menjadi perhatian utama bagi pemuda PAS. Tugasan Speaker Dewan yang membawa semua usul yang seimbang bagi kebaikan rakyat majmuk di Malaysia ini.

Desas-desus telah tular berkenaan perlantikan speaker ini akan diberikan kepada Pengerusi SPR terkini iaitu Dato’ Azhar Azizan Harun, yang merupakan bekas Pengerusi SPR yang meletakkan jawatan pada akhir bulan Jun yang lepas dan keputusan ini agak mengejutkan bagi Pemuda PAS kerana seolah-olah ianya adalah isyarat yang cukup kuat dan petanda besar bahawa Pilihanraya Umum akan berlaku dalam masa terdekat.

Kredibiliti calon speaker baru ini yang terkenal dengan beberapa isu kontroversi berkaitan dengan isu melayu dan islam, apabila dinaikkan menjadi speaker pastinya akan timbul beberapa persoalan, namun bagi pemuda PAS, jika isyarat pembubaran Parlimen ini adalah benar, maka seluruh jentera di semua peringkat perlu bersedia berhadapan dengan kemungkinan ini, dalam keadaan rakyat dilihat berpihak kepada kerajaan yang telah membuktikan prestasi yang terbaik dalam menguruskan negara dalam tempoh tidak sampai 4 bulan, berbanding Kerajaan Pakatan Harapan yang lepas.

Dengan keadaaan undi belah bahagi yang memperlihatkan sokongan pengosongan jawatan speaker ini sebanyak 111 dan yang tidak menyokong sebanyak 109, maka isyarat ini lebih kuat untuk memastikan pengukuhan kerajaan perlu dilakukan oleh mana-mana pihak dengan menyerahkan semula mandat pemilihan Kerajaan kepada rakyat.

Dengan ini, pemuda PAS menyokong pertukaran speaker dan lebih menyokong jika ianya dilihat untuk mengukuhkan lagi keputusan pihak kerajaan mengadakan Pilihanraya Umum secepat yang boleh.

IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 13/7/2020