Debar pilihan raya mengejut berakhir

DEBAR pilihan raya mengejut nampaknya tidak berlaku. Tidak seperti diuar-uarkan banyak pihak sebelum ini. Halangan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat berakhir juga semalam.

Biarpun hangat, kelam kabut dan panas, namun Dato’ Azhar Harun muncul menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Langkah ke arah itu tidak selesai dengan mudah. Berliku dan mendebarkan. Lebih-lebih lagi ramai pemimpin DAP dan PAN silih berganti bangun menyekat pelantikan Azhar.

Advertisement

Ada ahli parlimen (MP) Pakatan Harapan (PH) menjerit sebagai ‘Speaker haram’. Ada MP DAP melaung ‘siapa pilih you’. Teruk sekali.

Apa pun tragedi itu menggambarkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih ada sisa usia menjengok Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

Biarpun PH menjaja sebagai kerajaan pintu belakang, Speaker ‘simple minority’ kelebihan satu undi dikira pemenang. Azhar menang dengan undian 111 berbanding 109 yang menentang.

Kelebihan dua undi itu sudah dikira muktamad. Kerajaan PN nampaknya masih ada hayat. Tiada lagi mood pilihan raya mengejut seperti digambarkan sebelum ini.

Ia berakhirnya hari ini ketika PH ghairah menghalang pelantikan Azhar. Biarpun PN memiliki 114 ahli parlimen, namun jumlah itu termasuk pengerusi mesyuarat.

Dato’ Md Rashid Hasnon mengambil tugas menggantikan Mohd Ariff pada sesi kedua sebelah pagi. Ahli Parlimen Batu Pahat itu dilantik kerajaan PH menduduki kerusi Timbalan Speaker.

Begitu juga Ahli Parlimen DAP Teluk Intan, Nga Kor Ming. Mereka dilantik selepas pengundian belah bagi pada persidangan parlimen Julai 2018. Ketika itu Rashid memperolehi 171 undi, manakala Kor Ming mendapat 124 undi.

Hari ini Rashid terus kekal di kerusinya. Manakala Kor Ming terpaksa mengundur diri.

Jumlah undi PN penyelamat sepatutnya 112, namun ahli parlimen Kota Marudu, Dato’ Seri Maximus Johnity Ongkili tidak hadir kerana sakit.

Pertama dalam sejarah

Sesi kedua bermula jam 2.30 petang. Sekali lagi gegak gempita yang memperlihatkan PH mengamuk di kerusi pembangkang.

Ketika sesi pagi ahli parlimen DAP bangun silih berganti mempertikaikan keperluan melantik Speaker baharu. Ahli parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan ahli parlimen Beruas Dato’ Ngeh Koo Ham menganggap peraturan itu janggal.

Kata mereka tidak pernah berlaku dalam sejarah. Begitu juga ahli parlimen Port Dickson Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyifatkan tiada keperluan Mohd Ariff ditukar.

Bagi Anwar, Mohd Ariff cemerlang berkhidmat dan tidak pernah berat sebelah. Manakala Ahli Parlimen DAP mempertahankan hujah tidak perlu lantik Speaker baharu kerana tiada kekosongan.

Kata mereka usul yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada dalam Perlembagaan Persekutuan. Mereka juga mendakwa tidak terkandung dalam Peraturan Mesyuarat.

Dr Mahathir pula berhujah kekosongan hanya berlaku apabila ada kematian atau meletak jawatan.

Ketika menggulung perbahasan usul tersebut Menteri Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang Dato’ Takiyuddin Hassan menjelaskan usul terbabit dibenarkan perlembagaan.

Menurutnya tidak berlaku pemecatan Speaker, sebaliknya meminta penyandang mengosongkan jawatan tersebut.

Peruntukan itu terkandung dalam Perkara 57(2)(c) Perlembagaan Persekutuan. Takiyuddin menyebut tidak perlu berlaku kekosongan sebelum dilantik Speaker baharu.

Kerajaan boleh melantik pada bila-bila masa Speaker baharu dengan syarat notis 14 hari diterima Setiausaha Dewan.

“Notis tersebut dihantar pada 29 Jun lepas. Ini bermakna menepati tempoh 14 hari,” kata Takiyuddin.

Usul menukar Speaker sebenarnya dalam pengetahuan Mohd Ariff. Usul itu disenaraikan dalam susunan aturan persidangan dengan kelulusan Speaker.

Tindakan Ariff menyenaraikan usul tersebut menggambarkan dia sedia berhenti selepas kerajaan mempunyai calon baharu.

Pakar Undang-Undang Perlembagaan Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood menyifatkan kerajaan berhak menukar Speaker.

Apa pun tanggal 13 Julai menjelaskan PN masih memiliki tongkat kuasa. Mengulangi apa yang pernah berlaku di Kelantan pada 2004.

M FAQIH- HARAKAHDAILY 14/7/2020