Kematian Adib: UMMAH gesa dibahas segera

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menggesa Dewan Rakyat untuk membuat usul segera bagi kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, kes kematian Muhammad Adib perlu disiasat dan dibicarakan secepat mungkin supaya pesalah menerima hukuman yang setimpal.

Advertisement

“UMMAH mendesak Parlimen membuat satu usul segera supaya kes yang melibatkan kematian anggota bomba Muhammad Adib disiasat dan dibicarakan secepat mungkin.

“Pesalah yang melakukan kesalahan dihukum berdasarkan kepada undang-undang negara dengan adil,” tegasnya.

Mohd Zai menyeru kepada ahli Parlimen Kerajaan, Ahmad Fadhli Shaari mengemukakan usul penubuhan ‘Task Force’ khas dalam Dewan Rakyat manakala Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Undang-undang menyokong supaya usul ini dapat diluluskan segera.

“UMMAH telah hilang keyakinan kepada PDRM akibat kenyataan Ketua Polis Negara (KPN).

“Kami mendesak Parlimen menubuhkan satu ‘Task Force Khas’ bagi PDRM menjalankan siasatan, mengenalpasti, mengumpulkan saksi dan bukti dengan bersungguh-sungguh serta mendakwa pesalah yang terlibat ke mahkamah dengan segera,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

UMMAH berharap agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) dapat bertindak dengan lebih baik, pantas dan saksama ekoran isu tersebut.

Terdahulu, KPN Tan Sri Abdul Hamid Bador mengeluarkan kenyataan pada 10 Julai yang menyatakan tiada bukti dan keterangan yang kukuh kematian arwah Adib adalah akibat dipukul.

Malah ini bercanggah dengan keputusan Mahkamah Kroner yang menyatakan bahawa kematian beliau adalah akibat daripada hentakan dan pukulan yang menyebabkan kematian.

Keluarga Allahyarham Muhammad Adib bagaimanapun dalam kenyataan baru-baru ini menyatakan rasa kesal dengan kenyataan Abdul Hamid.

Semalam Abdul Hamid menyangkal kenyataan keluarga Allahyarham Muhammad Adib, beliau menerangkan kenyataannya pada 10 Julai itu tidak timbul fakta terpesong.

Ujarnya, sehingga kini tiada saksi yang benar-benar dapat menyatakan nampak arwah Muhammad Adib dipukul bahkan kesemua keterangan yang diperoleh adalah bersifat ‘hearsay’ dan berupa pendapat.

Ulasnya, usaha mengenal pasti pelaku jenayah masih dijalankan malah beberapa isu masih perlu disiasat lebih lanjut susulan keputusan inkues menyatakan arwah Muhammad Adib dipukul dan diserang dua orang atau lebih.- HARAKAHDAILY 14/7/2020