LPN Teluk Intan ambil inisiatif cegah denggi

TELUK INTAN: Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) Kawasan Teluk Intan telah menganjurkan Gotong-Royong Cegah Denggi bertema “Kita Jaga Kita” yang dilancarkan di PASTI Ibnu Rusyd, Taman Cicely di sini pagi kelmarin.

Advertisement

Hadir sama dalam program ini ialah Pengerusi LPN PAS Negeri Perak Ustaz Azmi Murad bersama Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan, Nazirudin Mohd Bandi dan Suria Narayanan serta Timbalan Yang DiPertua PAS Teluk Intan, Rostam Malik.

Pengerusi LPN Teluk Intan, Mutiaton Said Palah berkata, gotong-royong ini diadakan ekoran dari beberapa kes demam denggi yang berlaku dalam kalangan penduduk taman ini.

“Dengan adanya program sebegini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat setempat akan bahayanya nyamuk aedes dan kepentingan menjaga kebersihan persekitaran bagi mengekang wabak demam denggi dari terus bertambah,” ujarnya.

Program dengan kerjasama PAS Cawangan Cicely ini turut dihadiri ADUN Changkat Jong, Dato’ Mohd Azhar Jamaludin memuji usaha prihatin itu dan turut membantu kerajaan terutamanya Jabatan Kesihatan dalam usaha menghapus tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Program sebegini juga amat baik kerana dapat memupuk perpaduan dan interaksi sesama penduduk berbilang kaum  yang tinggal di kawasan perumahan ini,” kata beliau lagi.

Antara gerak kerja pembersihan yang dilakukan ialah kutipan sampah dan menghapus tempat pembiakan nyamuk aedes, pembersihan longkang dan penyemburan asap (fogging machine).

Manakala sampah-sampah yang dikutip, dikumpulkan dan diangkut oleh lori sampah Majlis Perbandaran Teluk Intan di mana gerak kerja pembersihan dipantau sepenuhnya oleh Pejabat Kesihatan Daerah Teluk Intan.

Program ini berjalan lancar dengan kehadiran penduduk dari kaum Melayu, Cina dan India serta kerjasama dari Kawasan Rukun Tatangga (KRT) Taman Cicely, Umno Taman Cicely dan Majlis Perbandaran Teluk Intan. – HARAKAHDAILY 14/7/2020