Muslimat Teluk Intan cakna kebajikan warga

TELUK INTAN: Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Teluk Intan telah melaksanakan Ziarah Prihatin terutama dalam menyantuni hal ehwal golongan warga emas yang uzur dan juga ibu tunggal di Kampung Selabak, di sini kelmarin.

Advertisement

Rombongan dipimpin sendiri oleh Ketua Muslimat PAS Teluk Intan, Robi’atun Mohd Abas dan Pengerusi Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Teluk Intan, Robainah Ismail disertai beberapa Ahli Jawatankuasa Lajnah.

Antara diziarahi adalah ibu tunggal, Salmainah Mohd Wito, 40 bekerja sebagai pembantu kantin di mana mendiami rumah pusaka peninggalan ibunya yang usang bersama enam anak berusia 3 hingga 17 tahun.

Turut dijengah adalah warga emas, Ismail Sokri, 70 penghidap strok sejak 45 tahun lalu di mana beliau telah terlantar sakit sejak usia 19 tahun kerana ditimpa batang pokok ditebangnya dan kini dijaga anak saudara, Fauzi Mohd Ishak, 44.

Manakala Bariah Mat Saidi, 76 nenek yang keuzuran, namun turut menjaga suami terlantar strok hampir 5 tahun lalu, selain menjaga tiga cicit berusia 3 dan 5 tahun serta 5 bulan sementara cucunya iaitu ibu tiga kanak-kanak itu bekerja.

Rombongan yang hadir berkunjung itu selain menyampaikan sumbangan, turut membantu kerja-kerja rumah diziarahi seperti menyapu sampah, menyidai kain dan lain-lain lagi.

Menurut Robainah, ziarah itu selain menyelami kepayahan hidup mereka dan menyampai sumbangan berupa barangan dapur hasil derma dan fidyah ahli PAS Teluk Intan, juga mengambil maklumat berkaitan. – HARAKAHDAILY 14/7/2020