PAS-Umno Pasir Salak teguhkan muafakat

PASIR SALAK: PAS Kawasan dan Umno Bahagian bagi Parlimen Pasir Salak telah mengadakan Majlis Permuafakatan Kepimpinan yang dilangsungkan di Taman Satria, Kampung Gajah, di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Pertemuan ini adalah rentetan daripada usaha pengukuhan dan penyatuan ummah yang telah terdahulu diadakan kedua-dua pihak dalam Himpunan Perpaduan Ummah di Pekan Rabu dan Chenderong Balai.

Yang DiPertua PAS Pasir Salak, Ustaz Mustafa Shaari mengingatkan kepentingan berpegang teguh dengan Muafakat Nasional yang telah memeterai piagam bersama disamping kini perlunya meraikan Perikatan Nasional.

Hubungan tersebut hurainya, mengambil situasi dan realiti yang menuntut berpegang kepada kaedah fikah iaitu mengambil perkara yang kurang kemudharatannya apabila bertemu dua kemudharatan.

Jelasnya, menyokong BERSATU adalah kurang mudharatnya, berbanding dengan tidak menyokongnya akan membawa kepada DAP kian berkuasa yang menjadikan mudharat itu lebih besar dan banyak.

Ustaz Mustafa juga mengingatkan betapa dalam hubungan memerlukan adab-adab yang merangkumi keikhlasan, adil dalam pembahagian serta berpegang kepada syura atau keputusan dibuat bersama.

Manakala Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Seri Tajuddin Abd Rahman dalam ucapannya menyeru supaya bekerja keras untuk penyatuan umat Islam dan Melayu serta tidak terlalu ghairah dengan kemenangan dicapai.

Hadir sama adalah Timbalan Yang DiPertua serta Ketua Pemuda dan Muslimat PAS Pasir Salak, Ustaz Jamaludin Yahya serta Ustaz Zafarul Azhan Zan dan Jamaliah Sudin, selain Ketua Ameerah Pasir Salak, Syazwani Ashar.

Juga ADUN Kampung Gajah, Dato’ Dr Wan Norashikin Wan Nordin dan Timbalan Ketua Umno Pasir Salak, Khairul Azwan Harun bersama Ketua Pemuda dan Puteri Umno Pasir Salak, Hamid Abidin dan Datin Rohayu Tajuddin. – HARAKAHDAILY 14/7/2020