Pemuda Perak diarah bersedia pertahan kemenangan

LARUT: Pemuda PAS Negeri Perak di setiap peringkat diarah mengaktifkan kesiapsiagaan pilihan raya melalui gerak kerja berterusan bagi menghadapi PRU15, seru Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait.

Advertisement

“Kita perlu berfikir sebagai kerajaan untuk menjadikan tempoh yang singkat ini sebagai kerajaan yang terbaik. Kita risau apa yang berlaku kepada PH selepas jadi kerajaan berlaku kepada kita. Jadi anak muda perlu ambil peranan,” ujar dalam Liqa’ Fikri Zon 1 di Darul Ta’lim, di sini kelmarin.

Sambil menyebut beberapa kemungkinan politik yang bakal berlaku, beliau mengarahkan Pemuda supaya mengisi masa dengan program bersifat tarbiah, dakwah dan siasah tanpa menunggu pembubaran DUN atau Parlimen.

“Jadi bila kita tak buat kerja untuk daftar pengundi baru, maka boleh jadi pilihan raya nanti anak-anak muda orang Islam Melayu kita tidak boleh jadi pengundi. Maka rugi pada kita,” ujar beliau yang juga merupakan Pegawai Khas Exco Pendidikan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri Perak, Razman Zakaria.

Beliau turut berucap mengingatkan hadirin kepada gerak kerja musuh yang dihidu memindahkan sejumlah pengundi tertentu bagi tujuan memenangkan pihak mereka.

“Ingat PH duduk saja? DAP duduk saja? (Oleh sebab itu) susun rancang program. Jangan tunggu arahan KP Kawasan masing-masing. Jangan tunggu mesyuarat agung baru nak buat (program). Rancang siap-siap. Bentang dalam mesyuarat, lulus, laksana,” tegas beliau.

Dalam masa sama, beliau menyeru seluruh jentera Pemuda supaya sentiasa _wala’_ dan patuh kepada setiap arahan pimpinan khususnya dalam soal calon pilihan raya.

Beliau mahu peserta Liqa’ Fikri mengambil iktibar kisah kepatuhan Nabi Ismail dan ibunya Hajar terhadap arahan Nabi Ibrahim di era awal penubuhan Kota Makkah.

Liqa’ Fikri kali ini julung kali diadakan sejak negara dilanda wabak COVID-19 turut dihadiri oleh ADUN Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahaya yang juga merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Zon 1 mengumpulkan Ahli Jawatanluasa Harian Pemuda PAS dari lapan Kawasan iaitu Parit Buntar, Bagan Serai, Padang Rengas, Larut, Lenggong, Gerik, Bukit Gantang dan Taiping. – HARAKAHDAILY 14/7/2020