Perlu berjiwa besar hadapi pelbagai situasi politik

LARUT: Pemuda PAS Negeri Perak di setiap peringkat diseru supaya bersedia dengan sebarang keputusan atau arahan politik oleh pucuk pimpinan dalam mendepani PRU15 yang bakal berlaku bila-bila masa.

Advertisement

Amanat itu disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait di hadapan peserta Liqa’ Fikri Zon 1 di Darul Ta’lim, di sini kelmarin.

Beliau memetik kisah jiwa besar Nabi S.A.W memaafkan Ikrimah bin Abu Jahal, salah seorang musuh Islam paling dikehendaki di awal pembukaan Kota Makkah setelah dirayu oleh isteri Ikrimah selama tiga hari berturut-turut.

“Pemuda juga kena berjiwa besar. Sekiranya dalam tempoh politik yang akan datang ini tiba-tiba ada arahan daripada pimpinan Tuan Guru Presiden (atau) Majlis Syura Ulamak untuk kita menerima sesiapa sahaja yang dulunya pernah menjadi musuh kita (maka kena terima).

“Walau siapapun ketika itu diarahkan untuk menjadi kawan atau lawan kita, maka anak-anak muda perlu bersedia,” ujar beliau sambil menyifatkan situasi politik sekarang sebagai ‘tidak stabil’.

Beliau juga mengingatkan anak muda agar berjiwa besar dalam menerima sesiapa sahaja sebagai calon pilihan raya walaupun bukan dari kalangan penduduk tempatan disamping bersedia dicalonkan ke mana sahaja.

Jumlah kerusi Pemuda juga peringatnya, bukan suatu yang perlu dibangkitkan dalam situasi PAS bersama ramai rakan-rakan politik hari ini.

“Kita sudah berkawan. Bila sudah berkawan, mesti ada one by one (atau) satu lawan satu. Bila ada satu lawan satu, salah seorang akan beralah,” ujar beliau yang juga merupakan Pegawai Khas Exco Pendidikan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri Perak, Razman Zakaria.

Bagi menjelaskan soal kepatuhan kepada arahan pimpinan atau wala’, beliau menukilkan kisah Hajar bersama Nabi Ibrahim ketika ditinggalkan di padang pasir bersama anak kecil mereka, Ismail.

“Hajar tak tengok apakah arahan itu. Tapi Hajar tengok siapa yang bagi arahan. Allah bagi arahan? Selesai. Nabi bagi arahan? Selesai.

“Istilah kita hari ini, pimpinan bagi arahan, teruskan. Keputusan siapa ini? Pusat. Teruskan. Keputusan siapa ini? Pemuda Negeri. Selesai. Tak tengok (dah) apa arahan. (Sama ada) sudah (atau) senang tak tengok dah. Tapi (hanya) tengok siapa yang bagi arahan,” jelas beliau di hadapan Ahli Jawatankuasa Harian Pemuda PAS dari lapan kawasan.

Liqa’ Fikri kali ini julung kali diadakan sejak negara dilanda wabak COVID-19 turut dihadiri oleh ADUN Kubu Gajah merangkap Timbalan Speaker DUN Perak, Ustaz Khalil Yahaya. – HARAKAHDAILY 14/7/2020