PN wajib pertahan kedaulatan negara, kesucian Islam

KUALA LUMPUR: Para pendukung Perikatan Nasional yang kini menjadi parti gabungan memerintah kerajaan mempunyai tanggungjawab besar mempertahan kedaulatan negara dan kesucian Islam.

Advertisement

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, mandat tersebut menuntut dan hanya dapat dilaksanakan dengan setiap umat Islam bersatu padu dan menjauhi perpecahan sesama sendiri.

Beliau mengajak menjadikan pemerintahan Pakatan Harapan sepanjang 22 bulan sebelum ini walaupun diketuai Perdana Menteri beragama Islam, namun didominasi oleh bukan-Islam hingga agama turut diperkotak-katikkan.

Beliau membangkitkan motivasi itu dalam ucapannya pada pertemuan bersama Srikandi BERSATU Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini semalam.

Sehubungan itu peringatnya, antara persediaan terhampir perlu dilakukan adalah bersiapsiaga dengan sebarang kemungkinan menghadapi PRU15 dalam masa terdekat ini.

Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan turut mengemukakan salah satu daripada tujuan penubuhan PAS sebagaimana tercatat dalam Perlembagaan PAS.

Iaitulah terangnya, untuk mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara di mana usaha itu termasuk dalam peranan PAS melepaskan negara dari cengkaman penjajah dan pemerintahan bukan-Islam.

Sebaliknya kata beliau, usaha PAS membawa pemerintahan Islam bukan sahaja untuk mencapaikan kesejahteraan buat umat, tetapi juga untuk seluruh rakyat termasuk kalangan bukan-Islam.

Kunjungan dan pertemuan Srikandi BERSATU bersama Muslimat PAS itu bertujuan mengukuhkan lagi muafakat dan kerjasama kedua pihak khususnya di Wilayah Persekutuan. – HARAKAHDAILY 14/7/2020