Tamatkan lantikan PH di TH

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) menamatkan segera lantikan pengerusi dan lembaga pengarah di Tabung Haji (TH) yang diterajui dari lantikan Pakatan Harapan (PH).

Kata Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa lantikan baharu ini bertujuan mengembalikan keyakinan pendeposit TH kepada institusi milik umat Islam itu.

Advertisement

Tambahnya, sepanjang 22 bulan kerajaan PH memerintah, pengurusan TH dikendalikan oleh lantikan dari PH telah mengecewakan pendeposit-pendeposit TH.

Justeru itu, beliau berharap kerajaan segera menggantikan jawatan tersebut dengan lantikan baharu daripada kerajaan PN.

“Bermula daripada episod pemindahan aset bernilai 19.7 billion kepada SPV, penjualan ladang sawit yang tinggi pulangannya di bawah harga pasaran.

“Penjualan resort dan hotel yang strategik dan menguntungkan sehinggalah kepada hibah yang paling rendah dalam sejarah TH,” ujarnya.

Mengulas lanjut Mohd Zai berkata, TH merupakan institusi yang menjadi contoh kepada kekuatan ekonomi umat Islam.

Malah boleh menjadi instrumen pelaburan yang kukuh dan kuat bagi mempertahankan aset dan perniagaan strategik umat Islam dalam pelbagai bidang.

Di antaranya hartanah, perladangan, pemilikan saham, hospital, teknologi maklumat, ‘food security’ dan perhotelan.

Malangnya kata Mohd Zai apa yang berlaku semasa PH memerintah, TH antara institusi awal yang dijarah dan diranapkan.

Katanya, akhirnya TH diruntuhkan sehingga menghilangkan kepercayaan umat Islam kepada institusi ekonomi ini.

Sehubungan itu katanya, dengan pelantikan baharu pengurusan TH bukan hanya akan mengembalikan semula kepercayaan umat Islam tetapi sangat penting bagi mempertahankan dan menyelamatkan semula institusi ini.

“UMMAH berharap Perdana Menteri dan Menteri Agama dapat melantik Pengerusi dan Lembaga Pengarah TH yang baru bagi mendapatkan semula keyakinan ummat Islam kepada institusi ini, seterusnya memacu institusi ini bagi memperkasa objektif asal TH,” katanya kepada HarakahDaily.- HARAKAHDAILY 14/7/2020