Ziarah Pimpinan santuni ahli PAS Ipoh Timur

IPOH TIMUR: PAS Cawangan Kampung Sri Kinta telah mengadakan Ziarah Pimpinan melibatkan kunjungan ke atas ahli-ahlinya yang diuji keuzuran khususnya di DUN Tebing Tinggi, semalam.

Advertisement

Ziarah dipimpin Setiausaha PAS Kampung Sri Kinta, Ahmad Shahril Jamaludin yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Ipoh Timur antaranya ke Hospital Tunku Permaisuri Bainun, di sini.

Pengerusi As Sabiqun PAS Ipoh Timur, Abdul Rahim Dahari yang dilawatinya di hospital tersebut telah dimasukkan ke dalam Wad 6A sejak beberapa hari lepas akibat jangkitan kuman.

Terdahulu, Shahril menyertai solat jenazah serta mengiringi ke tanah perkuburan bagi menyempurnakan pengebumian seorang penduduk kampung Sri Kinta yang telah meninggal dunia kerana sakit tua.

Beliau juga pada sebelah malamnya mengikuti majlis tahlil di rumah keluarga arwah bersama Pemuda PAS Kampung Sri Kinta, Muhammad Firdaus Nu’man yang jugapelajar Tahfiz As-Shafie, Ipoh.

Ziarah juga menyantuni aktivis PAS, Idris Sujak, 46 yang sakit terlantar sejak hampir setahun lalu akibat diserang angin ahmar ketika sedang bekerja dan kini disahkan lumpuh separuh badan.

“Saya redha apa yang ditakdirkan (ujian) ini dan tidak berputus asa dengan Allah S.W.T untuk kembali sembuh dengan izin-Nya, Insya-Allah.

“Saya ucap terima kasih dan rasa sangat gembira dengan kehadiran (pemimpin) PAS ini yang sudi melawat saya. Sakit ini kehendak Allah SWT,” ujarnya yang merupakan pekerja Dewan Bandaraya Ipoh. – HARAKAHDAILY 14/7/2020