DBKL gempur aktiviti niaga warga asing

sumber- Facebook DBKL

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan tindakan penguatkuasaan terhadap warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran, hari ini.

Seramai 13 anggota DBKL dikerahkan bagi menyita sebuah tempat mencuci kereta yang dikendalikan oleh warga asing yang memiliki kad United Nations High Commisioner for Refugees (UNHCR) di Jalan Budiman 23, Bandar Tun Razak.

Advertisement

DBKL turut menggempur aktiviti perniagaan warga asing di Jalan Madrasah, di sini dengan kekuatan 22 anggota penguatkuasa DBKL.

DBKL berkata pihaknya mendapati sebuah kedai runcit milik warganegara Indonesia di Jalan Madrasah beroperasi tanpa lesen.

“Gerai tersebut telah diambil tindakan sita dan tutup serta merta di bawah seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Sitaan pindah halangan di atas jalan di sepanjang Jalan Madrasah yang berunsur cop parkir kenderaan,” kata DBKL dalam satu hantaran di Facebook.

Susulan itu, DBKL berkata pihaknya akan sentiasa memantau dari masa ke semasa aktiviti perniagaan tanpa kebenaran oleh warga asing yang berleluasa di ibu kota.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1 800 88 3255 atau terus ke Pejabat Cawangan DBKL berhampiran. – HARAKAHDAILY 15/7/2020