K’jaan Kedah tangani kesan pembangunan di Kuala Muda

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah akan memindahkan kilang-kilang plastik tertentu yang kini beroperasi di Sungai Petani ke Bukit Selambau berikutan masalah ditimbulkan dari aktiviti perkilangan berkenaan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan perkara tersebut selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan yang pada kali ini ke Daerah Kuala Muda di mana sidang media beliau diadakan di Sungai Petani, hari ini.

Maklumnya, turut diberi perhatian adalah masalah kediaman Projek Perumahan Rakyat Paya Nahu juga di Sungai Petani yang berdepan pelbagai isu penghuni haram, penagihan dadah dan sebagainya.

Katanya, dua masalah tersebut akan ditangani oleh Jawatankuasa Khas yang diwujudkan di bawah portfolio EXCO masing-masing hingga masalah berkenaan dapat diselesaikan.

Mengenai masalah tapak pelupusan sampah di Semeling yang dilaporkan masalah berlarutan, kerajaan negeri katanya telah memberi lampu hijau kepada pihak Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK).

“Untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan isu tapak pelupusan sampah di Semeling ini tidak lagi mengganggu keharmonian, ketenangan penghuni-penghuni di sekitarnya.

“Terutamanya akibat daripada bau busuk daripada pembakaran sampah di tapak pelupusan itu termasuk menamatkan perjanjian dengan kontraktor yang menguruskan tapak itu dan memindahkan pusat pelupusan sampah itu ke satu kawasan lain yang lebih jauh yang kurang kepadatan penduduk,” ujarnya.

Sanusi juga mengemukakan mengenai projek pemuliharaan ‘beach nourishment’ Pantai Merdeka di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengembalikan keadaannya untuk riadah sepertimana dahulu.

Projek bernilai RM12 juta itu katanya akan beriringan projek kedua JPS bagi mengatasi air pasang besar dan hakisan pantai melibatkan pembinaan dan pembaikan bermula dari Kampung Tepi Sungai ke Pulau Sayak dengan kos RM25 juta.

Beliau turut membentangkan sebanyak 558 projek dengan tawaran peruntukan RM36.29 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dan Kerja-kerja Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri (MARRIS).

Uniknya kemuka beliau, projek yang akan memberi manfaat kepada kontraktor tempatan itu dicadangkan secara pelaksanaan majlis cabutan undi menerusi siaran langsung atas talian (online) melalui Facebook. – HARAKAHDAILY 15/7/2020

Advertisement