Menteri gempur tapak haram buang sisa toksik

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Selangor telah berjaya mengesan dan menyita tapak haram pembuangan sisa toksik dan bahan terjadual berbahaya yang dipercayai telah beroperasi lebih 3 bulan yang lalu iaitu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan.

Hasil risikan dan intipan yang dijalankan selama sebulan, termasuk pemantauan dengan menggunakan teknologi dron, pada 14 Julai 2020, 40 anggota penguatkuasa yang terdiri 12 orang penguatkuasa JAS Selangor, 12 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 8 orang penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan 8 orang penguatkuasa daripada Pejabat Daerah dan Tanah Klang telah melakukan serbuan awal ke atas dua (2) lot tanah berkeluasan 2.5 ekar yang telah diuruskan operator haram.

Pada pagi ini, siasatan lanjutan telah dijalankan dan dianggarkan terdapat lebih 1,000 tong drum dan jumbo bag yang disyaki mengandungi enapcemar minyak, enapcemar getah, buangan pigmen dan campuran buangan toksik dan berbahaya. JAS sedang membuat pensampelan ke atas bahan buangan tersebut untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan tersebut. JAS juga akan menjalankan finger printing dan pengumpulan bahan bukti untuk menjejaki pihak yang bertanggungjawab bagi tujuan pendakwaan.

Kertas siasatan sedang disediakan bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu Seksyen 16, Seksyen 18, Seksyen 19, Seksyen 34A, Seksyen 34B dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Bagi kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu kesalahan menempatkan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling, jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara mandatori dan denda sehingga RM500,000.00.

Saya ingin memberi amaran keras kepada semua pihak terutamanya pengusaha industri supaya lebih bertanggungjawab dalam menguruskan sisa toksik dan berbahaya ini dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. KASA tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar dan ingin ditegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan KASA akan terus diperhebatkan demi menjamin kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menjadi mata dan telinga JAS dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke [email protected] dan melalui portal  e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

YB DATO’ TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA)
Putrajaya
15 Julai 2020 – HARAKAHDAILY 15/7/2020

Advertisement