Pilihan raya PBT bukan keutamaan, perlu dibantah

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bertegas menolak usaha untuk melaksanakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata pelaksanaan pilihan raya PBT hanya untuk menentukan siapa akan menguruskan polisi dan juga pentadbiran di peringkat bandar yang terdapat di Malaysia.

Advertisement

Menurutnya, pilihan raya ini dilihat menjadi titik permulaan kepada perpecahan kaum kerana komposisi penduduk Cina yang ramai menetap di bandar berbanding komposisi kaum lain seperti kaum Melayu dan India yang banyak menetap di luar bandar.

“Ini menyebabkan akan timbul suatu jurang yang akan membezakan taraf kehidupan bagi kaum-kaum yang hidup di dalam bumi Malaysia.

“Namun dalam sesi Sidang Parlimen pada hari kedua menyaksikan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah membentangkan usaha ini untuk dilaksanakan pada sekitar awal tahun depan.

“Pemuda PAS menegaskan bahawa jika ianya dilaksanakan, kami tidak teragak-agak untuk menentangnya sekaligus memastikan usaha ini tidak akan dilaksanakan walaupun PAS adalah sebahagian daripada kerajaan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, penentangan itu adalah selari dengan ketetapan di peringkat PAS Pusat untuk memastikan pilihan raya PBT ini bukan satu pilihan yang perlu didahulukan sehingga benar-benar yakin masalah jurang antara kaum sama ada daripada sudut ekonomi, gaya hidup dan sosial dapat ditangani serta usaha memupuk perpaduan yang lebih padu di Malaysia.

Berkata Khairil, pihaknya yakin dengan desakan untuk tidak melaksanakan pilihan raya PBT ini, pihak kerajaan pastinya ada jalan lain untuk memastikan pengurusan pentadbiran di bandar lebih tersusun tanpa pilihan raya PBT dilaksanakan.

“Melihat daripada sentimen dan respon rakyat terhadap kecekapan kerajaan Perikatan Nasional pada hari ini, Pemuda PAS yakin pilihan raya PBT ini bukanlah agenda utama yang perlu didahulukan.

“Malah agenda memastikan rakyat terus berada dalam kehidupan yang lebih harmoni dan mempunyai kuasa dalam ekonomi adalah menjadi keutamaan yang perlu difikirkan oleh pihak kementerian,” ujarnya.

Semalam, Zuraida memaklumkan kepada sidang Parlimen bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih berhasrat untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan pada pertengahan tahun 2021.

Pilihan raya PBT kali terakhir diadakan adalah pada tahun 1965 sebelum ianya digantung atas asbab mengurangkan risiko perpecahan di kalangan kaum.- HARAKAHDAILY 15/7/2020