PR PBT: Manifesto PH, ditolak MP PN

KUALA LUMPUR: Penyokong kerajaan PAS, Umno, BERSATU dari Sarawak dan Gabungan Parti Sarawak sepakat tidak menyokong pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dilaksanakan.

Menurut Tan Sri Noh Omar [BN-Tanjung Karang] meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya tidak meneruskan hasrat untuk melaksanakan pilihan raya PBT itu.

Advertisement

“Saya tegas dalam dewan ini bahawa PAS dan Umno negeri Selangor menolak pilihan raya PBT ini. Jelas, ini manifesto PH.

“Saya meminta supaya Menteri buat pengumuman bahawa kerajaan PN (Perikatan Nasional) membatalkan hasrat untuk mengadakan pilihan raya PBT,” katanya semasa perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Turut bangkit Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh [PAS-Pasir Puteh] (gambar) mewakili PAS menyatakan bahawa parti itu turut menolak pelaksanaan pilihan raya PBT.

“Kita (PAS) bertegas pilihan raya PBT, kita akan tolak,” katanya ketika bangkit mencelah.

Sementara itu, Dato’ Alexander Nanta Linggi (GPS-Kapit) mewakili GPS turut menyatakan pendirian sama.

Terdahulu, Noh juga menasihati menteri-menteri dalam kerajaan PN supaya mengetepikan manifesto parti masing-masing dan fokus ke hadapan.

“Keputusan yang dibuat mesti mengambil kira perasaan PAS, Umno dan ahli gabungan yang lain,” katanya.

Semalam, Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin memaklumkan kepada persidangan Dewan Rakyat bahawa kementerian itu masih berhasrat untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan pada pertengahan tahun 2021.- HARAKAHDAILY 15/7/2020