Sukan ekstrem berpotensi besar di Malaysia

KUALA LUMPUR: Sukan ekstrem mempunyai potensi untuk berkembang pesat di Malaysia, sehingga boleh dijadikan sebagai karier sepenuh masa, jika mendapat galakan daripada pelbagai pihak.

Advertisement

Atlet orienteering dan sukan lasak negara, Azam Mohd Shidid berkata, banyak sukan lasak telah berkembang pesat di luar negara, sehingga boleh menjana pendapatan, tetapi masih agak ketinggalan di negara ini.

Namun, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berusia 27 tahun itu tetap yakin, bahawa sukan ekstrem mampu mencapai tahap lebih tinggi, melalui penglibatan di pelbagai peringkat.

“Pertama, kita perlukan penglibatan secara sukarela, bukannya paksaan. Guru di sekolah dan pihak universiti juga harus menggalakkan penglibatan pelajar dalam sukan ekstrem, sekurang-kurangnya mereka tahu kewujudan sukan ini yang mempunyai panduan dan jurulatih yang diiktiraf.

“Malaysia juga ada golongan atau komuniti yang dah capai tahap tinggi, tetapi wujud sedikit kelompongan seperti dari segi dana dan penaja untuk kembangkan lagi,” katanya pada sesi webinar Bicara Sukan UiTM,  ‘Masa Depan Sukan Ekstrem Negara’ semalam.
 
Orienteering atau kembara berpandu arah merupakan sejenis sukan lasak, yang memerlukan seseorang mempunyai stamina dan kemahiran tinggi dalam membaca peta dan kompas, untuk sampai ke destinasi yang diberikan.

Sementara itu, Pengarah Cawangan Sukan dan Rekreasi, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Hasnata Hasan berkata, sukan lasak seperti papan selaju, BMX, larian berhalangan, mendaki gunung, memanjat tembok tiruan dan larian denai (trail run), semakin menarik minat masyarakat Malaysia, terutamanya golongan belia.

“Ada beberapa pembangunanan fasiliti dibuat melalui kerjasama dengan kementerian lain, seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk bina ‘skate plaza’ di kawasan perumahan. Agensi kerajaan lain yang bukan di bawah KBS juga banyak sediakan fasiliti sukan ekstrem.

“Ini menunjukkan kerajaan melihat sukan ini mendapat permintaan daripada masyarakat. KBS juga menjalinkan kerjasama dengan penganjur acara sukan lasak untuk membantu mereka, dengan bantuan bukan dari segi kewangan semata-matanya, tapi khidmat nasihat dan sokongan lain, untuk mengurangkan kos penganjuran,” katanya.

Pendaki Gunung Everest dan Pengarah Urusan sebuah syarikat pengurusan acara sukan, rekreasi dan mendaki, Zainudin Lot mengakui bahawa 2020 merupakan tahun yang sangat mencabar buat penggiat dan industri sukan ekstrem negara.

“Industri ini terjejas teruk susulan COVID-19. Banyak perancangan program dan pendakian ke luar negara seperti India, Nepal dan Gunung Kilimanjaro (Tanzania), terpaksa dibatalkan.

“Kita berharap pandemik ini berakhir segera, supaya kita boleh mulakan semula aktiviti kita. Buat masa ini, kita hanya menumpukan perancangan masa depan dan aktiviti dalam talian, seperti larian maya dan kembara maya,” katanya pada Webinar satu jam, 30 minit itu yang dikendalikan Pegawai Sukan Kanan UiTM Mohd Fauzi Zainuddin. – BERNAMA