Tender benih padi lebih adil – Menteri

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan menyelaraskan lebih adil pengagihan tender pengeluaran benih padi kepada syarikat-syarikat pengeluar padi.

Menterinya, Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee mengakui bahawa setakat ini sembilan syarikat yang mendapat tender mempunyai kuota yang berlebihan berbanding syarikat-syarikat lain.

Advertisement

Walau bagaimanapun katanya, kementeriannya akan sentiasa memantau keadaan tersebut dan berharap dapat menyelaraskan secara lebih adil pengagihan benih padi kepada syarikat-syarikat pengeluar padi.

Beliau berkata demikian bagi soalan tambahan dari Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman (gambar) dalam sesi soal jawab Dewan Rakyat hari ini yang meminta beliau mengulas tindakan rasional kementeriannya memberi kuota berlebihan kepada selain syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ujar Ahmad Tarmizi keadaan ini menyukarkan para petani di Kedah susulan kelewatan dan ketidak lancaran pengagihan benih padi.

“Apakah rasional pihak kementerian yang sebelum ini memberi kuota berlebihan kepada beberapa syarikat pengeluar padi ini berbanding dengan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan kerajaan GLC.

“Termasuk di MADA di Kedah, MADA Corps di Jelapang padi Kedah, kita memerlukan 28,000 tan benih padi sah tetapi hanya diberi kuota sebanyak 8,000 tan sahaja.

“Jadi saya mohon kementerian dapat memperbaiki apa yang telah dilakukan oleh kementerian sebelum ini,” kata Ahmad Tarmizi.

Menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi, Ronald berkata langkah itu berasaskan kepada kapasiti keupayaan syarikat-syarikat tersebut untuk membekalkan benih secara lebih berbanding dengan syarikat-syarikat lain. – HARAKAHDAILY 15/7/2020