Agensi Penguatkuasaan China ceroboh laut kita 89 kali

MENGEJUTKAN sekali Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 semalam mendedahkan 89 kapal (37.4 peratus) iaitu sebanyak 72 kapal Agensi Penguatkuasaan China dan 17 kapal ketenteraan China menceroboh Perairan Sarawak dan Pantai Barat Sabah dari tahun 2016 hingga 2019.

Pencerobohan China ini berkait dengan tuntutan rejim Komunis itu ke atas wilayah kita di Laut China Selatan khususnya kawasan Beting Patinggi Ali (BPA).

Menurut laporan Ketua Audit Negara ini, “Sebanyak lima nota bantahan diplomatik telah dikeluarkan bagi pencerobohan perairan Malaysia di kawasan Laut China Selatan kepada Negara China susulan 29 laporan yang dilaporkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sepanjang tahun 2018 hingga 2019”.

Advertisement

Laporan ini berpendapat isu pencerobohan China khususnya BPA merupakan perkara serius terhadap kedaulatan dan keselamatan Zon Maritim Malaysia (ZMM).

Berkenaan Tentera Laut Diraja Malaysia pula, Laporan Ketua Audit Negara menyatakan bahawa “Sungguhpun TLDM dapat menunjukkan keberadaannya bagi melindungi kedaulatan di perairan BPA tetapi peranannya bukan sebagai agensi yang melaksanakan penguatkuasaan.

“Sewajarnya APMM berada di BPA setiap masa bagi melaksanakan penguatkuasaan dan memberi kelebihan kepada Kerajaan Malaysia sekiranya terdapat sebarangan tuntutan oleh China di peringkat Antarabangsa,” cadang laporan itu.

Semoga Laporan Ketua Audit Negara ini akan membuka mata kesemua ahli politik dan anggota Parlimen kita untuk mengetepikan perbezaan fahaman politik dan bekerjasama untuk memperkasa aset TLDM dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia.

ABDUL MUEIN ABADI
Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda – HARAKAHDAILY 15/7/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.