Yuran Pengajian: KPT dengar rintihan pelajar

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT) mengambil maklum pandangan semua pihak supaya yuran pengajian di Universiti Awam dapat dikurangkan bagi meringankan beban kewangan pelajar dan ibu bapa.

Menterinya, Dato’ Dr Noraini Ahmad berkata pihak kementerian telah mengadakan perbincangan dengan kementerian kewangan mengenai hal ini dan hasilnya kerajaan bersetuju untuk mengurangkan kadar yuran.

Advertisement

“Ia melibatkan yuran asrama, yuran perkhidmatan dan yuran aktiviti di Universiti Awam sehingga 15 peratus setelah mengambil kira keupayaan kewangan kerajaan dan pihak Universiti Awam,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Dato’ Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya).

Dalam soalan tambahan tersebut, Shamsul Iskandar meminta penjelas sama ada kerajaan menyediakan inisiatif untuk mengembalikan sebahagian yuran pengajian ke atas pelajar yang terkesan akibat penularan Covid-19.

Jelas Noraini, pengurangan yuran pengajian bagi semester 2 sesi akademi 2019/2020 melibatkan peruntukan sebanyak RM72 juta.

“Daripada jumlah itu, RM20 juta telah dipersetujui bersama kementerian kewangan dan selebihnya RM52 juta adalah menggunakan peruntukan universiti masing-masing melalui penjimatan dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” ujaranya.

Dengan yang demikian itu, dijangkakan seramai 523,318 pelajar Universiti Awam di seluruh negara akan mendapat manfaat daripada keputusan itu.- HARAKAHDAILY 15/7/2020