DHPP sokong hukuman setimpal pemandu mabuk

KUALA TERENGGANU: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) menyokong penuh usaha kerajaan Persekutuan mahu mengenakan hukuman setimpal yang lebih keras terhadap pemandu mabuk kerana minuman arak.

Ketua Penerangan DHPP Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, hukuman kepada pemandu yang mabuk kerana minum arak wajar dikenakan hukuman berat.

Advertisement

Malah, katanya bukan sekadar denda yang lebih tinggi tetapi perlu langsung tidak diberikan lesen memandu kepada pesalah tersebut.

Menurutnya, hukuman itu bukan kerana mahu menafikan hak seseorang itu untuk minum arak tetapi bagi menjaga keselamatan nyawa orang lain.

“Dalam agama Hindu ada juga larangan itu. Orang yang minum arak (sama) macam minum racun. Jangan minum arak tetapi kalau minum arak, (awak) langsung tidak dihormati dalam masyarakat.

“Untuk berbincang dengan orang yang mabuk (arak) ini seperti awak mandi atau masuk dalam air bawa pelita, api (cahaya) itu tidak akan jadi (nyala).

“Mudah sahaja, pertama bagi saya (Balachandran) semua agama melarang kepada arak (mabuk). Kedua, hak untuk minum itu memang hak awak tetapi awak kena jawab pada Tuhan.

“Tetapi, sekurangnya awak minum, mabuk dan langgar seseorang hingga menyebabkan kematian, sewajarnya orang seperti itu tidak diberikan lesen (memandu) seumur hidup,” ujarnya ketika ditemui Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang juga Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam di Pejabat Menteri Besar Terengganu menegaskan, hukuman setimpal itu amat wajar dikenakan kepada pesalah mabuk yang menyebabkan kematian.

“Hukuman mesti setimpal dengan kesalahan mabuk hingga menyebabkan kematian. Maknanya, untuk minum arak itu hak awak tetapi untuk langgar orang itu bukan hak awak (pesalah).

“Tetapi, jika awak hendak minum arak hingga mabuk di rumah itu hak awak, kita tidak kacau. Asalkan, awak tidak keluar rumah memandu dan langgar orang kerana mabuk.

“Saya setuju dengan pindaan hukuman yang lebih ketat, bagi saya hukuman tidak beri lesen memandu terus kepada orang yang melakukan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dan langgar orang hingga menyebabkan kematian,” tegasnya.

Menurut Balachandran, manusia ini jika hukuman ringan dan tidak setimpal dianggap remeh dan tidak gerun dengan hukuman itu.

Sementara itu, seorang pemimpin DHPP Kawasan Pandan, Selangor, Sandra Govindasamy menggesa, agar hukuman berat yang setimpal dengan kesalahan mabuk perlu dipercepatkan.

Ini kerana, katanya hukuman itu demi kebaikan negara Malaysia yang tercinta dan selamat dari ancaman pemandu mabuk kerana arak.

“Saya (Sandra) sokong 100 peratus dan sedia beri kerjasama. Saya harap kerajaan baharu (Perikatan Nasional) ini dapat laksanakan undang-undang yang lebih tegas.

“Saya juga sokong 100 peratus jika semua kedai menjual minuman arak yang memabukkan itu ditutup terus di negara ini.

“Saya juga minta pihak berkuasa PDRM (Polis DiRaja Malaysia) ambil tindakan tegas kepada pemandu mabuk yang ditahan dalam sekatan jalan raya,” tegasnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, nasib ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia kerana kesalahan pemandu mabuk itu juga perlu dibela.

“Siapa yang hendak jaga penerusan nafkah ahli keluarga mangsa yang kematian angkara pemandu mabuk.

“Sebab itu, kami (DHPP) amat bersetuju dan menyokong 100 peratus jika kerajaan PN hari ini dapat meminda hukuman yang lebih berat kepada pesalah yang memandu kerana mabuk,” jelasnya.

Harakahdaily difahamkan, kerajaan PN sekarang sedang melakukan Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang menyaksikan hukuman lebih berat dikenakan kepada individu yang disabit kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau secara berbahaya.

Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Dr Wee Ka Siong, dikatakan telah menghantar draf pindaan Akta 333 kepada Jabatan Peguam Negara.

Pindaan itu, dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat, pada persidangan ini, hasil pungutan suara diterima daripada 345,021 responden melalui proses pungutan suara dilakukan kementerian, baru-baru ini.

Akta sedia ada sebelum ini, memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun dan denda antara RM8,000 hingga RM20,000, jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 44 (a) Akta 333 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan menyebabkan kematian.

Hukuman sama turut diperuntukkan bagi individu disabit bersalah mengikut Seksyen 44 (b) Akta 333 kerana memandu dengan kandungan alkohol dalam badan, nafas, darah atau air kencing melebihi had ditetapkan dan menyebabkan kematian.

Seksyen 45A (1) Akta 333 memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM6,000 atau penjara maksimum setahun, jika disabit kesalahan kerana memandu, cuba memandu atau menjaga kenderaan ketika mabuk. – HARAKAHDAILY 16/7/2020