Ekonomi negara diunjur tumbuh hingga 0.5 peratus

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kembali pulih dan berkembang sejajar dengan unjuran pertumbuhan global pada tahun 2021.

Menurut Menteri Kewangan, Senator Dato’ Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata penularan wabak Covid-19 telah memberi impak negatif ke atas kedudukan ekonomi dan kewangan kerajaan Persekutuan.

Advertisement

Katanya, pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini telah disemak semula dan diunjur antara -2 peratus hingga 0.5 peratus seperti yang telah diumumkan oleh Bank Negara Malaysia pada 3 April lalu.

“Pandemik Covid-19 bukan sahaja memberi kesan kepada Malaysia, malah ekonomi global turut diunjur mengalami kemelesetan pada kadar -4.9 peratus berdasarkan unjuran terkini oleh IMF pada Jun 2020.

“Walau bagaimanapun, kegiatan ekonomi dijangka pulih secara beransur-ansur pada tempoh separuh kedua tahun 2020 berikutan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan langkah-langkah rangsangan ekonomi yang telah diumumkan.

“Pada tahun 2021, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kembali pulih dan berkembang sejajar dengan unjuran pertumbuhan global yang lebih baik,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Larry Sng Wei Shien [PH-Julau] yang minta penjelasan kedudukan terkini ekonomi dan fiskal negara serta kesan penularan wabak Covid-19 terhadap perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan negara.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata bagi menangani krisis Covid-19, kerajaan telah memperkenalkan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi bernilai RM295 bilion untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berdaya tahan.

“Namun begitu, pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi ini hanya melibatkan suntikan langsung fiskal berjumlah RM45 bilion.

“Ia setelah mengambil kira pengurangan hasil berikutan unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang lebih rendah dan kejatuhan harga minyak mentah dunia serta pertambahan perbelanjaan bagi melaksanakan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi serta defisit fiskal pada tahun 2020 dijangka meningkat sekitar 5.8 peratus hingga 6.0 peratus daripada KDNK,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan adalah bersifat ‘one-off’ agar tidak terus membebankan kewangan kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Jelasnya, ia penting bagi memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara kekal pada paras terkawal.

Selain itu, kataya kerajaan akan kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana bagi mewujudkan ruang fiskal supaya kedudukan kewangan kerajaan kembali mampan pada masa hadapan.- HARAKAHDAILY 16/7/2020