Lebih 2 tan daun ketum dirampas PGA

PADANG BESAR: Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 2,667 kilogram (kg) daum ketum bernilai RM80,010 dipercayai untuk diseludup ke negara jiran dalam enam siri operasi berasingan dalam Op Benteng COVID sejak Sabtu hingga kelmarin.

Advertisement

Dalam operasi terakhir kelmarin, anggota PGA berjaya menemukan jumlah terbesar rampasan iaitu 68 guni putih berisi daun ketum seberat 1,550kg bernilai RM46,500 yang dilonggokkan di sebuah kandang kambing berhampiran Wang Kelian pada jam 1:45 tengah hari.

Komander Briged Utara PGA, SAC Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata selepas menunggu hampir sejam di kawasan berkenaan pihaknya turut merampas sebuah motosikal dan sebuah alat penimbang dipercayai digunakan untuk membawa daun ketum ke negara jiran.

Dalam rampasan pertama jam 3:30 petang, Sabtu lalu, anggota PGA merampas 60kg daun ketum dalam dua guni bernilai RM1,800 dipercayai ditinggalkan berhampiran Tiang TNB No. BKC B 16.

“Kita berjaya mengesan trek yang digunakan penyeludup malah kita juga telah merampas tiga buah motosikal yang ditinggalkan penyeludup,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
 
Menurut Abdul Ghani, dalam rampasan kedua dan ketiga pada hari yang sama anggota PGA menahan masing-masing tiga warga Thailand di Wang Kelian dan merampas daun ketum seberat 105kg (bernilai RM3,150) dan 490kg (bernilai RM14,700) dalam dua operasi berasingan itu jam 10.15 malam dan 11:30 malam.

Dalam rampasan keempat jam 6:35 petang, Ahad lalu, PGA telah membuat operasi menggeledah di kawasan kebun getah berhampiran Kampung Wang Kelian dan Wang Kelian dan menjumpai lapan guni putih berisi daun ketum seberat 235kg bernilai RM7,050.

Sementara dalam rampasan kelima jam 7 pagi semalam, anggota PGA terserempak dengan tujuh lelaki sedang menolak sebuah kereta jenis Toyota Corona di kawasan kebun Karim berhampiran Tiang TNB DKTM 38 dan Tiang TNB DKTM 39, KTJ BKC 7.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa kesemua suspek berjaya melarikan diri dan menemukan lapan guni putih berisi daun ketum seberat 227kg bernilai RM6,810 yang diletakkan di dalam kereta itu, katanya.

Katanya, kesemua suspek, daun ketum dan barang rampasan diserahkan kepada Balai Polis Padang Besar untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – BERNAMA