Malaysia bantu Turki perangi FETO

KUALA LUMPUR: Duta Turki ke Malaysia Dr Merve Safa Kavakcı semalam menzahirkan ucapan terima kasih kepada Malaysia atas sokongan diberikan dalam usaha negaranya memerangi Pertubuhan Pengganas Fetullah (FETO) yang bertanggungjawab melancarkan cubaan rampasan kuasa pada 2016.

Advertisement

Dalam mesej video disiarkan di laman facebook Kedutaan Turki sempena ulang tahun keempat rampasan kuasa yang gagal itu, Kavakci berkata perpaduan dan sokongan diberikan Malaysia amat dihargai.

“Menyedari hakikat ini dan mengecam cubaan rampasan kuasa 15 Julai, Malaysia menyerahkan orang yang mempunyai kaitan dengan FETO untuk dihadapkan ke muka pengadilan di negara kita pada 2016, 2017 dan terakhir 2019.

“Di kesempatan ini, kami merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia, badan bukan kerajaan di negara ini, pihak media dan rakyat Malaysia,” katanya.

Duta itu berkata kerjasama Ankara dan Kuala Lumpur akan berterusan bagi memerangi apa jua bentuk keganasan dan memberi jaminan tiada tempat di Turki untuk unsur yang mungkin boleh menimbulkan ancaman kepada Malaysia dan di wilayahnya.

Mengimbau kembali detik yang mengorbankan 251 rakyat Turki dan mencederakan 2,192 yang lain, Kavakci turut merakamkan penghargaan kepada mereka yang terkorban kerana mempertahankan negara.

“Jika mereka tidak berjuang bermati-matian pada malam itu, hari ini negara kita akan diseret ke dalam kancah kekacauan di tangan pengkhianat FETO,” katanya.

Pada malam 15 Julai 2016, anggota FETO melancarkan gerakan menggulingkan pemerintahan yang dipilih secara demokratik dan cubaan membunuh Presiden Recep Tayyip Erdoğan. – BERNAMA