Muafakat jangan sekali-kali pinggir Melayu

Melayu
Melayu

KESAN inisiatif menjalin permuafakatan antara dua buah parti politik Melayu Islam terbesar dalam negara iaitu PAS dan Umno telah berjaya membentuk satu blok kuasa politik baru yang besar dan cukup berpengaruh khususnya di kalangan para pengundi Melayu.

Kekuatan kerjasama ini telah terbukti di dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil bermula dari PRK Parlimen Cameron Highlands dan terakhir di PRK DUN Chini, 6 PRK semua sekali sejak PRU ke-14 tahun 2018 lalu yang memberi kemenangan besar kepada gabungan PAS dan Umno itu.

Kini permuafakatan ini menjadi lebih teguh apabila ia menjadi sebahagian dari Kerajaan Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tersungkur akibat perletakkan jawatan Perdana Menteri ke-7 Tun Dr Mahathir.

Advertisement

Dan susulan pembentukkan Kerajaan PN di peringkat Pusat, lahir pula kerajaan negeri-negeri baru di Johor, Melaka, Perak dan terbaru Kedah semuanya akibat kerajaan negeri-negeri PH di sana hilang pengaruh lantaran asakkan blok baru ini.

Dengan pencapaian besar dalam tempoh yang sangat singkat ini, kesatuan parti-parti ini dijangka terus memperkasa hubungan masing-masing untuk seterusnya muncul sebagai sebuah kuasa politik yang menguasai secara mutlak Kerajaan Persekutuan dan semua kerajaan negeri-negeri seluruh negara sama ada melalui ‘snap election’ ataupun apabila berakhir penggal Parlimen ke-14 ini.

Justeru sewajarnyalah sebelum pencapaian yang lebih besar dikecapi, semua pihak yang terlibat perlu sedar dan jangan sekali-kali lupa bahawa kuasa politik baru ini sesungguhnya ditunjangi oleh kesatuan dan perpaduan politik orang-orang Melayu Islam itu sendiri.

Merekalah yang telah berdiri teguh di bawah inisiatif berani ini, mengenepikan perbezaan dan perbalahan sekian lama, bangkit bersatu atas kesedaran demi menyelamatkan nasib dan masa depan agama dan bangsa.

Sejurus PRU14 orang-orang Melayu tidak tergamak melihat bumi dipijak milik orang, tidak dapat menerima hakikat apabila kaduk naik junjung sehingga menggugat dan mahu menghakis segala kepentingan yang diwarisi dan dibela mereka turun-temurun. Mereka serik dan mereka meneroka jalan keluar dari belenggu PH yang mengancam kehidupan dan masa depan mereka dan generasi mendatang.

Tanpa kepercayaan dan dukungan orang-orang Melayu, inisiatif politik PAS dan Umno ini tidak akan berjaya. Muafakat Nasional (MN) mustahil terbentuk dan kini Kerajaan Perikatan Nasional tidak mungkin didirikan.

Inilah pengorbanan terbesar umat Melayu abad ini, lantas jangan sekali-kali melupakan jasa mereka, jangan sekali-kali persiakan sumbangan besar mereka sehingga naik ke mercu kuasa politik Melayu kembali menjadi tunjang dan kepimpinan negara hari ini setelah didominasi kelompok minoriti hampir 22 bulan.

Asasnya Islam-lah yang telah memungkinkan kejayaan ini. Mujurlah umat Melayu terikat oleh kesatuan aqidah. Islam-lah yang telah mengilhamkan jalan keluar sehingga terjalin ikatan luar biasa yang tidak pernah terimpi atau terjangkau oleh semua sejak puluhan tahun.

Lantas pimpinan kuasa politik Melayu baru ini jangan sekali-kali meminggirkan Islam malah junjung dan nobatlah ia sebagai agama penyatuan yang telah menyelamatkan umat Melayu dan negara tercinta ini. Dengan kuasa politik kurnia Allah S.W.T itu, perkasakanlah Islam di bumi bertuah ini.

Banyak agenda untuk memperkasa dan memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan masih belum terlaksana dengan sempurna malah tergendala sebelum ini, sempurnakanlah ia. Kuasa yang dipinjamkan Allah S.W.T ini pergunakanlah sebagai tanda syukur di atas kurnia-Nya.

Yakinkanlah masyarakat bukan-Islam di kalangan kita bahawa pemerkasaan Islam tidak bermaksud memaksa mereka menerima atau mengamalkan Islam sebaliknya semata-mata untuk melahirkan umat Melayu Islam yang baik dan berguna pada masyarakat dan negara.

Pastikan Allah S.W.T tidak murka kepada kita, maka taat dan patuhlah pada suruhan-Nya dan jauhilah sebaik mungkin larangan-Nya.

Kesungguhan dan pengorbanan umat Melayu membawa kita ke puncak kuasa maka pastikan segala yang berkenaan dengan nasib dan kepentingan umat Melayu itu diberi keutamaan, terbela dan terpelihara. Ekonomi umat Melayu Bumiputera dan masyarakat yang susah perlu diberi perhatian.

Buktikan kualiti dan kemampuan kepimpinan Melayu yang cekap dan bersih jauh mengatasi yang lain dan merekalah bukannya orang lain, tempat umat Melayu yang susah bergantung harap.

Jangan lagi ada umat Melayu Bumiputera yang merempat dan susah di bumi mereka sendiri. Pastikan hasil dan kekayaan negara jatuh dan diagihkan secara adil dan saksama, tiada diskriminasi, tiada pilih kasih tiada penyelewengan. Pastikan mereka yang berkelayakan, mahir dan berilmu diberi bimbingan dan peluang untuk maju dan berjaya sehingga mereka mampu mengeluarkan zakat membantu pula mereka yang lain yang kurang bernasib baik.

Umat Melayu Bumiputera bukan sahaja digalakkan cebur dalam perniagaan kecil-kecilan, IKS tetapi perlu dibimbing dan ditunjukkan jalan sehingga berjaya menguasai dunia perniagaan dan industri besar dalam negara.

Dasar dan polisi negara mestilah digubal dan dirancang dengan sentiasa mengambil kira hukum dan syarak. Segala diharamkan agama mestilah dihindari dan dijauhi. Yang telah ada sedia begitu kita perbaiki agar kembali halal dan bersih.

Sistem kewangan, sistem perbankan, sistem berjual beli, sektor industri, perladangan, komoditi, perlancongan, perhotelan, pengangkutan semuanya mesti mematuhi Syariah agar selamat kita di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat nanti.

Kesedaran dan keinsafan umat Melayu membawa perubahan dan melahirkan politik baru ini sewajarnya turut mendorong pimpinan Melayu dari pelbagai parti merobah diri dan keperibadian masing-masing. Rakyat tidak mahu pemimpin yang korap, yang mungkar, yang pilih kasih untuk memimpin mereka.

Jadilah pemimpin yang bertakwa, yang bertanggungjawab, yang adil dan mengamalkan titah perintah Allah S.W.T.

Ringkasnya biarlah jasa dan pengorbanan besar umat Melayu itu tidak jatuh sia-sia. Iktiraf dan julang ia dan dalam waktu yang sama redha Allah S.W.T kita tuntut dan pelihara setiap ketika.

Kita telah saksikan sendiri betapa kuasa yang ada di tangan boleh Allah S.W.T sentap dalam sekelip mata, dan betapa kuasa yang menang yang menyangkakan mereka menongkat langit juga boleh dirampas kembali tidak sampai 22 bulan.

Kini dengan izin Allah jua kuasa kembali pula ke tangan kita tanpa melalui proses pilihan raya. Masing-masing perlu memain peranan dengan tekun dan penuh tanggungjawab.

Yang memungkinkan lahirnya kuasa politik baru ini sama ada yang dari langit mahupun yang di bumi jangan sekali-kali kita lupakan dan ingkari.

Allah S.W.T mengingatkan junjungan besar kita Rasulullah S.A.W dalam Peristiwa Pembukaan Kota Makkah melalui firmanNya yang bermaksud:

“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan engkau melihat manusia masuk dalam Agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhan Mu dan mintalah ampun pada-Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.”

(an-Nasr: 1-3)

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 16/7/2020