PAS bantah Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) tegas membantah rancangan untuk mengadakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti jawapan balas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Puan Hajah Zuraida Kamaruddin, dalam sidang Parlimen semalam.

Dalam memahami pola penduduk mengikut kaum di negara kita, terdapat perbezaan ketara komposisi masyarakat Melayu, Cina dan India terutamanya di kawasan bandar dan di luar bandar.

Contohnya, kaum Melayu atau Bumiputera sekadar menguasai bandar seperti Baling Kedah, Gua Musang Kelantan, Lubuk Antu Sarawak dan sebagainya. Adapun bandar-bandar pesat seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu dikuasai oleh masyarakat bukan-Melayu.

Advertisement

Pilihan Raya PBT hanya menyebabkan penguasaan kaum di satu-satu tempat. Ia akan memanjangkan lagi dasar ‘pecah perintah’ yang ditinggalkan penjajah dahulu. Sedangkan kita warga Malaysia yang dilatari masyarakat majmuk mengimpikan hidup bersama secara harmoni. Rakyat perlu mengambil iktibar daripada tragedi hitam 13 Mei 1969 dan mengelak daripada ia berulang.

Lebih diperhalusi lagi, Pilihan Raya PBT bakal mengakibatkan berlakunya pembaziran wang rakyat. Menurut YB Menteri sendiri, kos minima bagi setiap PBT adalah sebanyak RM2 juta bersamaan RM308 juta yang merangkumi keseluruhan 154 PBT. Sudah tentu kos sebenar adalah lebih tinggi dengan mengambil kira aspek perbelanjaan yang bakal ditanggung oleh setiap yang bertanding. Kos ini sangat tinggi bagi negara yang dalam fasa pemulihan jana semula ekonomi akibat COVID-19.

PAS tegas dalam memelihara keistimewaan kaum Melayu sebagai masyarakat majoriti di negara ini. Keharmonian dan kestabilan sesebuah negara terletak pada agama serta majoriti kaum yang menjadi penduduk dalam negara tersebut. Maka dalam konteks ini, sudah pasti masyarakat Melayu Islam perlu diberikan keutamaan dalam mengimbangi perpaduan negara.

Lihat sajalah apa yang berlaku apabila penguasaan DAP dan PKR dalam Kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan lalu.

“Islam Memimpin Perpaduan”

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
16 Julai 2020 | 24 Zulkaedah 1441 – HARAKAHDAILY 16/7/2020