Pilihan raya PBT berbaur perkauman

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh membawa kepada ketidakseimbangan kaum di negara ini berikutan komposisi kaumnya yang berbeza, demikian kata Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Katanya, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam polisinya akan meletakkan komposisi kaum yang ada dalam negara sama rata.

Advertisement

“Oleh itu, mana-mana pihak yang bercakap, PBT ini perlunya kepada pilihan raya secara terbuka, ini adalah kenyataan yang berbaur perkauman kerana komposisi kaum yang ada dalam negara ini berbeza dengan negara lain.

“Bila sebut PBT ia akan membabitkan kawasan bandar. Jadi pilihan raya termuka ia akan berlaku satu kaum akan menguasai PBT ini.

“Sedangkan polisi kerajaan hari ini hendak melihat semua kaum yang ada dalam negara berada di bawah satu naungan dan perlu saling berganding bahu di antara satu sama lain.

“Tidak boleh di satu tempat ini dikuasai masyarakat Cina, satu tempat ini dikuasai masyarakat Melayu dan satu tempat ini dikuasai masyarakat India. Ini tidak akan seimbang,” katanya ketika ditemubual oleh TV PAS.

Demikian itu, katanya perkara ini menyebabkan kerugian kepada semua kaum sekiranya berlaku perbalahan kaum dan seumpamanya.

Menurut Zawawi, proses pembentukan kerajaan PBT ini lebih praktikal dan rasional jika ia dipilih oleh pihak kerajaan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Berikutan itu, katanya PAS dan Umno tegas menolak pilihan raya PBT merujuk kepada teknikal pemilihan, bukan menolak demokrasi.- HARAKAHDAILY 16/7/2020