PR PBT: K’jaan PN perlu bawa aspirasi harmoni

DEWAN Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang mengikuti perkembangan usaha sesetengah pihak untuk mengadakan Pilihan Raya Pihak Kerajaan Tempatan (PBT). Terkini kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Parlimen ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, menyatakan bahawa KPKT berhasrat untuk meneruskan usaha bagi mengadakan Pilihan Raya PBT dan akan menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘pilot study’.

Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang dengan tegas menolak cadangan untuk mengadakan semula Pilihan Raya PBT khusus di negeri Pulau Pinang kerana ia bakal mewujudkan ketidakseimbangan penyertaan kaum dalam mentadbir dan mengurus ekonomi serta membuka ruang untuk dimonopoli oleh sesuatu kaum. Hal ini sama sekali tidak selari dengan aspirasi majoriti rakyat yang inginkan suasana adil dan harmoni.

Advertisement

Umum mengetahui Pilihan Raya PBT lebih mengundang kemudharatan berbanding kebaikan dan kerana itu ia digantung pelaksanaannya pada tahun 1964. Pemuda PAS Pulau Pinang juga menolak sebarang usaha untuk mewujudkan semula pilihan raya ini khususnya di Pulau Pinang melalui Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012 kerana ia bertentangan dengan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Usah mengheret rakyat ke kancah politik di bandar yang sepatutnya mereka hidup dengan harmoni dan berkongsi kekayaan bersama. Apatah lagi rakyat sudah mual dengan kerenah politik beberapa pihak yang sanggup membuat apa sahaja demi kuasa. Justeru sebagai sebuah kerajaan yang mendukung aspirasi keharmonian rakyat, Kerajaan Perikatan Nasional seharusnya menumpukan usaha menstabilkan ekonomi dengan adil dan berhemah daripada menghabiskan wang rakyat untuk mengadakan semula Pilihan Raya PBT.

Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang sekali lagi menolak usaha mengadakan semula Pilihan Raya PBT kerana ia bukanlah cadangan yang sesuai pada masa ini dan berharap agar pihak kerajaan menumpukan perkara lain yang lebih utama dalam menyatu padukan rakyat Malaysia.

USTAZ HANIF HARON
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 16/7/2020