SPR sedia kendali PRU ‘norma baharu’

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 pada bila-bila masa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata persiapan dan perancangan menyeluruh telah dilakukan meliputi aspek keperluan bajet pilihan raya, peralatan, logistik, pembangunan sistem, pengurusan sumber manusia dan latihan kepada petugas.

Advertisement

“Ini adalah penting bagi memastikan pengendalian penjalanan pilihan raya tersebut berjalan dengan lancar dan sempurna terutamanya dalam tempoh pasca Covid-19,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dato’ Seri Mahdzir Khalid [BN-Padang Terap] yang meminta penjelasan berkaitan tahap kesiapsiagaan SPR bagi menghadapi kemungkinan berlakunya PRU-15 dan perkembangan cadangan mengaplikasikan kaedah pengundian elektronik (e-undi) sebagai alternatif kepada kaedah konvensional dalam tempoh pasca-Covid-19.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata SPR juga akan mewujudkan lebih banyak pusat mengundi tambahan di daerah mengundi yang mempunyai bilangan pemilih yang tinggi.

“Urusan Pengemaskinian Daerah Mengundi ini akan dilaksanakan oleh SPR dari semasa ke semasa selaras dengan Seksyen 7 (2) Akta Pilihan Raya 1958.

“SPR akan memastikan pewujudan pusat-pusat mengundi baharu ini akan memudahkan pemilih untuk keluar mengundi pada masa hadapan,” katanya.

Jelasnya, SPR akan menjalankan urusan pengemaskinian daftar pemilih dari semasa ke semasa berdasarkan kepada Peraturan 10 dan Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Menurutnya, ia termasuklah memotong nama pemilih yang telah disahkan meninggal dunia dan memotong nama pemilih yang telah disahkan melepaskan atau dilucutkan hak kewarganegaraan.

Malahan katanya, bagi memastikan pilihan raya dilaksanakan dengan adil dan telus, SPR akan meneruskan pelaksanaan penambahbaikan terhadap proses penjalanan pilihan raya seperti yang telah dilaksanakan dalam pilihan raya kecil selepas PRU Ke-14.

Bagaimanapun, katanya proses penjalanan pilihan raya pada masa ini akan disesuaikan mengikut Garis Panduan Pencegahan Covid-19 selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, mengulas cadangan untuk mengaplikasikan kaedah pengundian secara elektronik (e-undi), jelasnya SPR sedang mengadakan libat urus dengan semua pihak yang terlibat dari dalam dan luar negara bagi meneliti kesesuaian kaedah pengundian ini.

“Penggunaan kaedah ini juga melibatkan beberapa cabaran baru berkaitan dengan isu-isu kerahsiaan, keselamatan, kos dan pendidikan pengundi.

“Dalam hal ini, SPR masih belum berpuas hati dengan isu kerahsiaan dan keselamatan.

“Justeru itu, SPR akan terus mengadakan libat urus dengan pihak yang berkaitan sebelum sebarang keputusan dikemukakan kepada kerajaan,” jelasnya lagi.- HARAKAHDAILY 16/7/2020