Tingkat pendapatan pengusaha sawit B40

KUALA LUMPUR: Beberapa mekanisme dan polisi telah dirangka bagi memberi manfaat kepada pengusaha kelapa sawit khususnya bagi meningkatkan pendapatan golongan B40 di peringkat industri sawit.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali (gambar) berkata, malah pelbagai polisi telah dilaksanakan bagi membantu pengusaha sawit.

Advertisement

Antaranya, polisi bagi menggalakkan dan mengaktifkan hasil untuk memajukan industri sawit bersama pelan tindakan dalam waktu ketidaktentuan harga sawit di peringkat global.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Salim Sharif [BN-Jempol] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Dato’ Dr Khairuddin [PAS-Kuala Nerus] berkata lagi, terlebih dahulu kementeriannya memberi pengecualian untuk duti eksport bermula 1 Julai hingga akhir Disember 2020.

Jelasnya, pengecualian berkenaan untuk menggalakkan permintaan sekali gus akan membantu meningkatkan nilai eksport komoditi itu ke luar negara.

Ujarnya, ini memandangkan industri sawit mempunyai bekalan yang mencukupi untuk rakyat dalam negara dan juga untuk dieksport ke luar negara. – HARAKAHDAILY 16/7/2020