Inisiatif MOSTI bantu pulih syarikat ‘start-up’

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menyelaraskan inisiatif melalui Technology Start-ups Funding Relief Facility (TSFRF) dalam usaha membantu syarikat-syarikat start-up teknologi yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Advertisement

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim memaklumkan, hampir 50 peratus syarikat start-up memerlukan di antara RM500,000 sehingga RM1 juta untuk memastikan kelestarian perniagaan sepanjang tahun 2020.

“TSFRF ini telah dilancarkan pada 15 Mei 2020 dengan menyediakan bantuan kewangan bagi menampung aliran tunai seterusnya mengekalkan kelangsungan operasi perniagaan, syarikat-syarikat terpilih.

“TSFRF ini terbuka kepada semua syarikat start-up teknologi milikan rakyat tempatan atau tenaga kerja majoriti rakyat tempatan atau majoriti pendapatan dijana di dalam negara Malaysia.

“Pakej rangsangan ini menawarkan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun, tertakluk kepada semakan tahunan serta pengecualian bayaran fi guaman selain tiada fi dan kos tambahan yang harus ditanggung oleh pemohon.

“Proses ini akan dibuat secara cepat dan mudah,” ujarnya ketika menjawab soalan berkaitan daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar) pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

Maklumnya, dana RM100 juta untuk TSFRF ini adalah tambahan kepada peruntukan yang telah disalurkan kepada agensi-agensi tech funding di bawah MOSTI iaitulah Malaysia Debt Venture Berhad dan Cradle Fund Sdn Bhd.

Juga MAVCAP, Kumpulan Modal Perdana dan Malaysia Technology Development Corporation menjadikan jumlah terkini sebanyak RM315 juta.

Peruntukan ini katanya, disalurkan kepada syarikat-syarikat start-up dalam bentuk pinjaman, geran, inisiatif pembangunan kapasiti, sokongan operasi, akses kepada pasaran dan lain-lain lagi.

Cradle juga beritahu beliau, akan turut menawarkan program pembiayaan baharu berbentuk geran berjumlah RM26.5 juta bagi tahun 2020 yang telah bermula pada penghujung Jun 2020 khusus untuk permohonan baharu.

“Manakala MAVCAP telah melancarkan dua program pembiayaan ekuiti baharu iaitu LuneX berjumlah USD10 juta yang memberi fokus kepada start-up Fintech serta Asia Greentech Fund USD20 juta dengan fokus kepada start-up teknologi hijau.

“Sebuah program pembiayaan ekuiti sambungan iaitu Superseed Fund II dengan jumlah USD10 juta juga telah dilancarkan dalam tempoh masa terdekat.

“Selain daripada itu kerajaan juga telah memperuntukkan RM100 juta bagi Initiative National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA),” bentangnya.

Kata Ahmad Amzad (PAS-Kuala Terengganu), NTIS dapat memberi manfaat yang besar kepada industri start-up negara di dalam mengharungi cabaran ekonomi terutamanya pasca COVID-19 melalui pendekatan sandbox.

Hal itu jelasnya, untuk mempercepatkan penciptaan dan pengkomersialan teknologi serta inovasi di semua peringkat di dalam menyediakan zon tertentu bagi pelaksanaan rintis inovasi masing-masing.

“Pembentukan NTIS ini di bawah kawal selia MOSTI, mampu memperkasakan serta menyediakan laluan pengkomersialan pantas bagi produk teknologi, perkhidmatan serta inovasi daripada syarikat start-up tempatan, merangkumi semua peringkat pembangunan teknologi.

“Menerusi MaGIC, inisiatif pembangunan kapasiti seperti Global Isolator Programme (GAP) akan terus dilaksanakan oleh MaGIC bagi menyokong kemampanan start-up termasuklah melaksanakannya secara atas talian serta mengembangkan kerjasama dan penglibatan daripada start-up antarabangsa.

“Selain itu Program Boot Camp yang menyasarkan Deep Tech dan Emerging Tech akan turut dilancarkan bagi membimbing bakat tempatan bagi penghasilan prototaip yang dapat menyelesaikan penyataan masalah berkaitan COVID-19 melalui teknologi seperti machine learning, robotics, nanotech dan drone tech.

Dalam usaha untuk mendigitalkan perkhidmatan kerajaan terangnya, Cradle melalui inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) akan melaksanakan satu Siri Roadshow Jeyarawara Hackathon di seluruh negara.

Jelas Amzad, ia akan dilancarkan di dalam bulan Ogos 2020 dan dilancarkan sehingga akhir tahun di mana kelak dianggarkan lebih daripada 1,000 peserta kalangan belia akan terlibat dan hampir 100,000 pemegang taruh akan menerima kesan positif. – HARAKAHDAILY 17/7/2020